V4Putrajaya Perkasa Semangat Kesukarelawan – Tengku Adnan

V4Putrajaya Perkasa Semangat Kesukarelawan – Tengku Adnan

Tengku Adnan (tengah) sempat bergambar kenangan bersama sebahagian ahli Briged Tranformasi Negara yang turut terlibat secara langsung dengan program V4Putrajaya selepas majlis perasmian, di sini.

PRESINT 8 – Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya mengambil insiatif melancarkan program Volunteer For Putrajaya (V4Putrajaya) dalam usaha mendidik dan menyemai semangat kesukarelawan di kalangan komuniti dan belia.

Program berteraskan sukarelawan itu turut mendapat kerjasama strategik antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya, Biro Tata Negara Wilayah Persekutuan dan pemimpin muda Putrajaya yang dikenali sebagai Briged Transformasi Negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor berbangga dengan langkah diambil oleh pihaknya yang dianggap mampu melahirkan generasi prihatin dan bertanggungjawab.

“Seperti diketahui umum, V4Putrajaya merupakan satu agenda baharu bagi memperbanyakkan aktiviti dan penyertaan sukarelawan dalam menjaga serta memelihara keindahan persekitaran.

“Secara tidak langsung usaha ini dilihat berupaya meningkatkan semangat bekerja secara berpasukan di kalangan belia dalam pembangunan Negara,” jelasnya ketika merasmikan program V4Putrajaya di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1), di sini.

Tidak perlu menunggu hari perasmiannya, V4Putrajaya telah diberi peluang sebelum ini untuk berkhidmat secara sukarela pada program bertaraf tinggi seperti Festival Catur dan Gen Y Kreatif Putrajaya, Konvoi Berbasikal Wanita 2017, Putrajaya International Food And Cultural Exchange Festival yang dikenali juga sebagai iChef 2017.

Tambah Tengku Adnan, usaha dilakukan itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan aktiviti kesukarelawan sebagai budaya masyarakat Malaysia khususnya di kalangan generasi muda negara.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan tahniah kepada semua terlibat kerana sehingga hari ini sahaja kita sudah berjaya mengumpulkan sejumlah 1,700 orang sukarelawan yang terdiri daripada komuniti, Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Puteri UMNO Bahagian Putrajaya dan pelajar-pelajar sekolah menengah.

“Bersempena hari perasmian V4Putrajaya, mereka juga akan melakukan aktiviti kesukarelawan dengan melakukan kerja-kerja pengindahan, kecerian dan kebersihan di Kompleks Kejiranan Presint 8, Kuarters Presint 8 dan laluan terowong dari Presint 8 menuju Presint 9.

“Aktiviti tersebut merangkumi kerja-kerja mengecat, menaiktaraf landskap, gotong-royong yang akan diterajui oleh Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya mengikut zon masing-masing,” ujarnya lagi.

Sesungguhnya insiatif yang diperkenalkan menerusi jenama V4Putrajaya, Tengku Adnan melihat usaha itu adalah terbaik dan menyeru agar komuniti Putrajaya dapat memberikan sokongan padu terhadap usaha murni tersebut.

Beliau berharap agar V4Putrajaya menjadi titik permulaan menyemai semangat kesukarelawan dan seterusnya melibatkan lebih ramai penyertaan komuniti dan generasi muda Putrajaya dalam program seumpama itu.