Teater ‘Bondings’ 19 – 21 Ogos Ini

Teater ‘Bondings’ 19 – 21 Ogos Ini

Teater Bondings menekan tema perpaduan antara kaum melalui sukan sebagai pendekatan persembahan.

KUALA LUMPUR- Sempena meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Fakulti Teater Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mengambil inisiatif dengan mengadakan persembahan teater ‘Bondings’ bertempat di Panggung Eksperimen akademi berkenaan.

Teater tersebut akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut mulai 19 Ogos (8.30 malam), 20 Ogos (3.00 petang dan 8.30 malam) dan 21 Ogos (3.00 petang dan 8.30 malam).

Teater itu ditulis oleh graduan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA, Rabi’ahtuladawyah Md Saleh atau lebih dikenali dengan nama penanya, Suri Liu bakal dijayakan oleh tujuh orang pelakon yang dibarisi oleh pelajar iaitu Mohammad Faez, Asyid Iqmal, Mohamad Fahim, Zetty Napiah, Lim Mei Fen, Ping Khoo serta pensyarah Fakulti Teater ASWARA, Shahrul Mizad.

Teater arahan Dekan Fakulti Teater ASWARA, Dr. Wong Oi Min itu memaparkan hubungan harmoni di dalam sebuah negara yang diduduki rakyat pelbagai kaum dimana di situ tinggalnya Peace Rangers iaitu sekumpulan pari-pari yang melindungi rakyatnya daripada diskriminasi kaum dan mencegah sifat perkauman daripada menular di tanah air mereka. Walaubagaimanapun, hubungan jernih mereka terganggu apabila diminta mengosongkan tanah air sehingga ada yang berbalah antara satu sama lain untuk tinggal atau beredar keluar.

Dr. Wong.

Dr. Wong.

Menurut Dr. Wong, teater Bondings diadakan bagi menjayakan program baharu Fakulti Teater ASWARA iaitu House of Malaysia Encounter (HOME).

“Program yang julung kali diadakan oleh fakulti kami ini bertujuan menyediakan platform yang melangkau batas bahasa dengan kerjasama penggiat teater yang aktif dalam pelbagai aliran bahasa, bangsa dan budaya sekaligus menawarkan naratif dan perspektif baharu mengenai kisah rakyat Malaysia.

“HOME juga dibuat sebagai sebuah pendekatan alternatif dalam menyemai semangat perpaduan pelbagai etnik yang merupakan pasak dalam masyarakat yang harmoni. Dengan adanya usaha ini, pihak kami berharap agar dapat meruntuhkan tembok prasangka, meningkatkan nilai kemanusiaan, menyemai masyarakat yang penuh kesefahaman dan toleransi dikalangan rakyat negara ini,” katanya ketika sidang media prebiu teater berkenaan semalam.

Bersesuaian dengan slogan pada tahun ini iaitu Sehati Sejiwa, Dr. Wong memberitahu teater yang berdurasi lebih kurang satu jam tersebut melihat perbezaan antara kaum sebagai satu nilai kekayaan dan keunikkan Malaysia.

“Memilih sukan seperti bola sepak dan badminton sebagai pendekatan persembahan, saya selaku pengarah berharap agar persembahan yang inovatif ini bakal menjadi jambatan dalam keharmonian masyarakat negara ini,” jelasnya.

Tambah beliau, persembahan Bondings bakal dibawa menjelajah ke negara China sempena China-ASEAN Theatre Week di Nanning pada 15 hingga 22 September depan dan Jepun sempena Festival Tokyo 2016 (4-6 November).

“Pihak kami berbesar hati dapat mewakili negara kedua-dua acara teater berprestij ini dimana melibatkan pelajar dan pensyarah bukan sahaja menjadi duta kecil negara malahan memberi pendedahan kepada mereka di pentas global.

“Oleh itu, persembahan Malam Gala akan dijalankan pada 20 Ogos ini (8.30 malam) bertujuan mengumpul dana bagi kos perbelanjaan produksi Bondings serta tiket penerbangan ke China. Pihak fakulti mengalu-alukan bagi sesiapa individu atau badan korporat yang sudi membuat sumbangan atau penajaan agar persembahan teater ini di China menjadi realiti,” katanya lagi.

Pas masuk bagi menyaksikan persembahan itu ialah RM30 untuk pelajar manakala RM35 kepada umum. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi urus setia di talian 03- 26975306.