Syarikat Mesir Kerjasama Hasilkan Ubat Hepatitis C

Syarikat Mesir Kerjasama Hasilkan Ubat Hepatitis C

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat farmaseutikal dari Mesir dalam usaha untuk menghasilkan penawar bagi penyakit hepatitis C dengan harga yang berpatutan, kata Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam hari ini.

Beliau berkata ubat penyakit tersebut yang berada di pasaran berharga kira-kira RM80,000 menyebabkan kerajaan tidak mampu menanggung kos rawatan untuk lebih 400,000 pesakit hepatitis C di negara ini.

Katanya, dahulu penyakit ini dianggap tidak boleh diubati tetapi sekarang telah wujud sejenis ubat di pasaran.

“Harga RM80,000 adalah harga yang paling murah untuk rawatan Hepatitis C. Pihak kementerian tidak mampu memberi rawatan tersebut kepada semua pesakit. Oleh itu, kerajaan bersama syarikat farmaseutikal dan sebuah agensi antarabangsa akan membangunkan sebuah kombinasi produk baharu bagi merawat penyakit hepatitis C,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Percubaan Klinikal di Institut Kanser Negara (IKN).

Katanya, percubaan ujian penyelidikan itu telah bermula pada Disember tahun lepas dan dijalankan ke atas kira-kira 200 pesakit tersebut untuk melihat keberkesanan ubat itu.

“Kementerian menyasarkan dalam tempoh setahun untuk mendapatkan keputusan mengenai keberkesanan rawatan tersebut. Kerajaan berharap ujian ini berhasil dan sekiranya ubat ini berjaya, harganya akan dijual dalam lingkungan AS$300.

Pada masa yang sama, syarikat berkenaan juga boleh mengilang ubat tersebut dalam negara serta memberi sinar baharu kepada pesakit Hepatitis C untuk mendapatkan rawatan dengan harga murah.” katanya. – Bernama