SMKPP 9(2) Dominasi Piala Tengku Adnan

SMKPP 9(2) Dominasi Piala Tengku Adnan

PASUKAN Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) mendominasi Kejohanan Bola Sepak Piala Tengku Adnan Tengku Mansor 2017 dengan merangkul gelaran juara bagi dua kategori berbeza iaitu Bawah-18 dan Bawah-15.

Pengetuanya, Mohd Zarrawi Abdullah tidak menyangka dua pasukan dihantar pada kejohanan tersebut berjaya menyerlah dengan mengatasi beberapa pasukan pilihan seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1).

Tambahnya lagi, kejayaan dikecapi kedua-kedua pasukan membuktikan bahawa para pelajar bukan sahaja didedahkan dengan akademik malah diterapkan kemenjadian individu seseorang.

“Seperti yang diketahui umum, pasukan bawah-18 kami merupakan juara bertahan dan untuk mengekalkan posisi tersebut tidak mudah seperti disangka kerana ia memerlukan pengelibatan menyeluruh termasuk ibu bapa sendiri.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pemain terutama Ketua Jurulatih, Engku Nazaruddin Engku Mohd Nawi yang berjaya mengekalkan kejuaraan bawah-18,” jelasnya ketika ditemui.

Beliau juga berharap kejuaraan pertama yang dikecapi pasukan bawah-15 turut menjadi titik tolak bagi sekolahnya untuk terus melahirkan atlet-atlet terbaik bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Putrajaya dan juga sebagai pengelola kejohanan, Ahmad Faisal Abdul Karim memberitahu kejohanan yang dianjurkan sejak tahun 2014 telah berjaya melahirkan beberapa pemain.

Ujarnya, menjadi objektif utama kejohanan tersebut untuk mencungkil serta melahirkan lebih ramai pemain bola sepak dan menjadi pelapis bagi pasukan negara suatu hari nanti.

“Insyaallah, kejohanan ini akan diteruskan pada masa hadapan selepas melihat perkembangan serta komitmen yang tinggi diberikan setiap pasukan bertanding.

“Selain itu, kita juga akan memperkenalkan pertandingan futsal wanita serta Liga Bola Sepak Putrajaya yang akan menjadi platform seterusnya bagi pemain-pemain peringkat sekolah,” jelasnya.

Pada kejohanan tersebut Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (2) berjaya merangkul gelaran juara bagi kategori bawah-12 pada edisi kali.