MyPresint

RM2,000 Petanda Rezeki

PRESINT 16 – Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mengail Tradisional Joran Buluh anjuran Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB) telah di sempurnakan oleh Haslinda Khalid selaku Ketua Pegawai Eksekutif PFSB dan Abdul Wahab Khalid, Pengarah Urusan Menawar Resources Sdn. Bhd. diadakan di Kolam Taman Warisan Pertanian Putrajaya hari ini.

Seramai 150 peserta menyertai pertandingan ini bersaing merebut hadiah wang tunai berjumlah RM2,000, RM1,000 dan RM500 yang hanya ditawarkan kepada tiga pemenang utama sahaja.

Mohd Afify Abdullah dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan mengail ini dengan hasil tangkapan ikan Pacu seberat 1.24 kilogram dan membawa pulang wang sebanyak RM2,000.

“Saya tak sangka yang saya menang dan saya anggap ini rezeki buat anak-anak walaupun pertandingan ini kali pertama saya sertai. Sebenarnya pada mulanya saya dah putus harapan nak teruskan sebab tali dah tiga kali putus tambahan pula saya tengok semua peserta sudah mendapat tangkapan mereka dan masa pun semakin singkat.

“Semalam saya pergi kedai pancing cari umpan cengkerik tapi dah habis tapi saya beli umpan lain iaitu ulat hongkong namanya. Saya betul-betul tidak menyangka rupanya ini petanda rezeki Allah untuk saya dan keluarga. Kalau ada lagi program macam ni saya nak sertai la mana tahu ada tuah saya lagi,” katanya.

Naib johan pula dimiliki oleh Hamidon bin Mat Aris membawa wang berjumlah RM1,000 dengan tangkapan ikan pacu seberat 1.13 kilogram manakala bagi tempat ketiga pula diraih oleh Husni Panjang dengan tangkapan ikan Pacu seberat 1.06 kilogram serta membawa wang berjumlah RM500.

 

Show More

Related Articles