Jom Makan

Resepi Rahsia Tambat Hati Pelanggan

Hari ni nak makan dekat mana ya? Soalan sebegini sering bermain di minda tatkala setiap hari mengisi perut di gerai mahupun restoran yang sama. Oleh itu, apa kata anda cuba bertukar ke gerai atau restoran lain pula? Medan selera Makan-makan terletak di Suria Mall merupakan salah satu tempat makan yang dikatakan mempunyai pelbagai jenis makanan yang menarik dan menggeliurkan.

Jika ternampak simbol mahupun perkataan ‘makan’, pasti perut kenyang berkeroncong kembali. Mungkin ini merupakan salah satu strategik medan selera ini untuk menarik minat pengujung singgah menjamu selera. Pelbagai hidangan makanan yang ada di sini daripada masakan kampung sehinggalah masakan barat

Salah satu hidangan makanan yang mampu menarik minat pengunjung ialah sup. Buat Penggemar hidangan sup semestinya anda sentiasa mencari sup yang enak dan mempunyai rasa yang berlainan dari sebelum ini. Aneka Sup dan Mee di medan selera ini merupakan salah satu gerai yang sering menerima ramai kunjungan pelanggan.

Pihak kami sempat menemui pemilik Aneka Sup dan Mee, Puan Alima Mohd Ali, 42, bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perniagaan sup yang diusahakan. Menurut beliau yang berasal dari Sabah, idea pembukaan hidangan sup ini tercetus apabila beliau menghidangkan sup kepada tetamu semasa majlis rumah terbuka. Rentetan itu, jiran-jiran sering bertanyakan mengenai sup beliau kerana rasanya yang enak berbanding sup lain membuatkan beliau mula berniaga secara kecil-kecilan di sekitar kawasan perumahannya di presint 14.

Tambahan juga, faktor rasa hidangan sup di semenanjung tidak sama dengan negeri Sabah membuatkan beliau semakin terdorong mengambil keputusan untuk membuka perniagaan makanan berasaskan sup di Aneka Sup dan Mee pada Februari 2017. Mengekalkan resepi rahsia turun temurun, tekstur daging yang lembut, mengurangkan penggunaan Monosodium Glutamate (MSG) dalam hidangan sup membuatkan rata-rata pelanggan yang datang ke sini sungguh berpuas hati dan mengatakan sup tersebut enak dan mempunyai persamaan dengan sup utara.

Antara menu yang disajikan di Aneka Sup dan Mee ini ialah meehoon, mee kuning dan kuey teow sup ayam atau daging berharga RM6. Bagi hidangan nasi set iaitu telur dadar bersama sambal pula berharga RM7 dan dikatakan antara hidangan tular serta mendapat komen positif daripada para pelanggan.

Menurut Puan Alima, aspek kebersihan juga turut dititikberatkan dalam penyediaan hidangan sup tersebut. “Kita memang guna sarung tangan dalam proses penyediaan sup ni sebab kita nak mengekalkan kualiti sup dan sup tidak cepat basi.

“Bidang perniagaan bukanlah satu aspek yang baharu kerana sebelum ini saya sudah berani menceburkan diri dalam bidang perniagaan iaitu perniagaan butik pakaian. Namun, minat mendalam dalam perniagaan makanan membuatkan saya meninggalkan perniagaan butik pakaian dan beralih arah kepada perniagaan makanan,” kata pemilik medan selera Aneka Sup dan Mee baru-baru ini.

Beliau juga bercadang untuk memperluaskan lagi perniagaanya di sekitar Putrajaya dan kawasan lain serta menambah menu lain seperti soto Makassar atas permintaan pelanggan. Bagi anda yang ingin mencuba hidangan sup seperti di Sabah dan berlainan dari sup yang sudah anda rasai, bolehlah ke Medan selera Makan makan Suria Mall bahagian Aneka Sup dan Mee yang dibuka setiap hari bermula 10 pagi sehingga 6 petang.

 

 

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles