‘Rambang Mata’ Di KLIHF 2016

‘Rambang Mata’ Di KLIHF 2016

Pertunjukkan fesyen turut diadakan di festival berkenaan.

“Pandang kanan cantik, pandang kiri pun cantik. Saya sudah rambang mata,” kata Jannah Mansor, 28, ketika ditemui MyPutrajayaNews di Kuala Lumpur International Hijab Fair (KLIHF) 2016 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jannah.

Jannah.

Jannah yang kini menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia memberitahu bahawa beliau begitu teruja menyaksikan pelbagai tawaran menarik yang ditawarkan oleh pempamer-pempamer (vendor) fesyen muslimah di festival tersebut.

“Para pempamer bukan sahaja memberi tawaran harga yang berpatutan malahan turut memberi  hadiah percuma buat pengunjung yang membeli-belah.

“Sebenarnya, kehadiran saya ke festival ini untuk mencari tudung dan pakaian muslimah sebagai persiapan bagi menyambut kedatangan syawal nanti.  Dengan adanya festival begini, memudahkan lagi urusan saya untuk mencari pakaian muslimah yang bersesuai dan menutup aurat,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik.

Nasiha.

Nasiha.

Bagi Siti Nasiha Yusoff, 26, hasratnya datang ke KLIHF untuk membeli hadiah buat emaknya sempena sambutan Hari Ibu yang disambut pada 8 Mei lalu.

“Untuk itu, saya membeli sehelai tudung dan sepasang jubah. Hadiah ini akan menjadi tanda ingatan dan ucapan terima kasih saya buat emak di kampung,” katanya yang berasal daripada Tanah Merah, Kelantan.

KLIHF 2016 merupakan pameran perdagangan fesyen Islam yang pertama di Malaysia di bawa kelolaan M & O Event & Lifesytle Management.

Merupakan penganjuran kali ketiga, Pengurus Besarnya,  Fauziah Din berkata, festival itu berjaya menghimpunkan lebih 200 gerai pameran daripada pelbagai sektor berkaitan dengan industri fesyen melibatkan pengusaha, peruncit, pemilik dan pengeluar fesyen Islam.

“KLIHF merupakan sebuah festival yang secara tidak langsung menjadi hub perdagangan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan berkaitan fesyen Islam selain menjadi platform untuk memasarkan dan meningkatkan jenama di dalam industri fesyen di peringkat global.

“Di samping itu, KLIHF  juga menyediakan aktiviti pentas bercorak ilmu dan dakwah menerusi bual bicara, forum dan ceramah, petunjukan fesyen muslimah, bengkel, pelnancran produk dan banyak lagi,” katanya.

Menurut Fauziah, tahun ini pihaknya tidak ketinggalan mendapat penyertaan dari negara luar seperti Thailand, Indonesia, Australia, Turki dan United Kingdom.

“Walaupun ini merupakan festival fesyen bertaraf antarabangsa namun kami tetap memberi peluang kepada usahawan-usahawan kecil untuk memasarkan produk mereka.

“Sudah pasti produk-produk yang dijual dan dipamerkan adalah berkualiti tinggi dan dengan adanya penyertaan daripada semua golongan, ia membolehkan pengunjung membuat pilihan masing-masing. Insya-Allah, KLIHF akan terus berkembang menjadi festival perdagangan fesyen muslimah bertaraf global nombor satu di Malaysia,” jelasnya tersenyum bangga.

Festival tersebut akan menemui pengunjung Brunei pada 2 Hingga 5 Jun depan.  Untuk rekod, seramai  150,000 pengunjung hadir ke festival itu pada tahun lepas dan 120,000 pada tahun 2014.