Projek Pembangunan Taman Rimba Kiara Diteruskan Demi Rakyat

Projek Pembangunan Taman Rimba Kiara Diteruskan Demi Rakyat

Tengku Adnan

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu bahawa projek pembangunan unit kediaman di atas tapak Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur tetap diteruskan meskipun mendapat bantahan.

Ujarnya, kebanyakkan penduduk yang membantah sehingga ingin mengambil tindakan mahkamah terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebenarnya tidak tahu dengan jelas bahawa projek kediaman tersebut tidak akan mengusik langsung kawasan rekreasi Rimba Kiara.

“Kita merancang pembangunan ini dengan mengambil kira kepentingan kawasan rekreasi itu kepada masyarakat dan projek perumahan ini perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi menunaikan janji kerajaan kepada pekerja estet di kawasan itu yang kini hanya menetap di rumah panjang.

“Pembangunan itu melibatkan projek pangsapuri mampu milik 29 tingkat serta lapan blok pangsapuri perkhidmatan yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat,” jelasnya kepada wartawan.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Penduduk TTDI semalam yang berhasrat mengambil tindakan undang-undang jika projek tersebut diteruskan.

Sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, Tengku Adnan memberitahu beliau komited menjayakan projek yang telah tertangguh sekian lama, tambahan pula sememangnya tanah tersebut disediakan untuk projek berkenaan.

Beliau berkata sebanyak 180 unit daripada blok pangsapuri mampu milik tersebut akan diberikan percuma kepada bekas pekerja estet kaum India yang merupakan penduduk asal sebelum kawasan TTDI dibangunkan, sebagaimana yang dijanjikan kepada mereka sejak 30 tahun lalu.