Sekolahku Selamat Wargaku Ceria Sejahtera

Sekolahku Selamat Wargaku Ceria Sejahtera

Pakar Perubatan (Kesihatan Awam) Pegawai Kesihatan Daerah Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dr Husnina Ibrahim, sedang menyiram pokok durian belanda di Majlis Perasmian Minggu 3K Tahun 2017 bertempat di Dewan Tun Abdul Razak, SMKPP 9(2), baru-baru ini.

PRESINT 9 – Bertemakan “Sekolahku Selamat Wargaku Ceria Sejahtera” Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) telah mengadakan Majlis Perasmian Minggu 3K Tahun 2017 bertempat di Dewan Tun Abdul Razak.

Pakar Perubatan (Kesihatan Awam) Pegawai Kesihatan Daerah Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dr Husnina Ibrahim, berkata program ini dikenali sebagai Inisiatif Meningkatkan Keselamatan, Kesihatan dan Keceriaan Sekolah atau Inisiatif 3K.

“Program ini bertujuan untuk mewujudkan suasana sekolah yang selamat, bersih, ceria, dan kondusif untuk pembelajaran.

“Selain itu, saya ingin menerapkan budaya kerja berpasukan kepada pelajar di sekolah Putrajaya agar mereka dapat membawa kepada amalan 3K,” jelasnya.

Dalam pada itu, guru-guru perlu mengadakan perancangan yang dapat meningkatkan kualiti 3K di sekolah supaya lebih ceria dan suasana yang tenang.

Menurut Husnina, program 3K ini melahirkan modal insan yang berkeperibadian unggul menerusi pemupukan pengetahuan, sikap, dan amalan yang berkekalan dalam aspek kebersihan, kesihatan, dan keselamatan.

Justeru itu, beliau berharap agar pelajar di SMKPP 9(2) ini dapat meningkatkan jalinan permufakatan dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi membentuk sebuah komuniti yang dapat mengamalkan nilai keceriaan, kebersihan, keselamatan, dan kesihatan sepanjang masa.