Pewujudan Kolej Universiti Genovasi Fokus Kursus Revolusi Perindustrian – Najib

Pewujudan Kolej Universiti Genovasi Fokus Kursus Revolusi Perindustrian – Najib

PUTRAJAYA – Sebuah Kolej Universiti Genovasi (GUC) akan diwujudkan di negara ini, dengan kursus-kursus menjurus kepada pemikiran reka cipta yang akan memberi tumpuan kepada Revolusi Perindustrian Keempat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata penubuhan Kolej Universiti Genovasi (GUC) dengan genovasi yang digabungkan daripada perkataan generasi+inovasi, telah mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Kolej itu akan menjangkau khalayak audiens yang lebih luas dan meletakkan Malaysia sebagai hab bagi mempromosikan Pemikiran Reka Cipta, katanya ketika berucap bersempena dengan pameran “Memupuk Budaya Berfikir” di Kompleks Perdana Putra di sini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AIM Datuk Mark Rozario, menteri di Jabatan Perdana Menteri dan penasihat AIM Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Ini selari dengan inisiatif lain seperti Persatuan Design Thinking Malaysia, yang antara lain, bagi mengembangkan Genovasi dan Pemikiran Reka Cipta di rantau ASEAN,” kata Najib.

Genovasi, yang dilancarkan pada 1 Ogos, 2012, bertujuan bagi memupuk budaya inovasi menggunakan metodologi Pemikiran Reka Cipta (DT) di kalangan belia Malaysia sebagai satu kemahiran untuk menghasilkan projek berpaksikan komuniti, yang menjadi gelombang baharu kekayaan dan penyelesaian bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.

Sebelum itu, Najib mempengerusikan mesyuarat Majlis Urus Tadbir AIM.

Menurut Najib, Genovasi Malaysia yang ditadbir urus di bawah perkongsian awam-swasta di antara Yayasan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dan Ancom Berhad, merupakan satu daripada sekolah Pemikiran Reka Cipta di dunia yang diperakui Hasso-Platner Institute (HPI).

“Di sinilah satu pendekatan berpaksikan manusia kepada inovasi yang disebarkan kepada lebih 3,000 duta Inovasi dan 33 organisasi awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Pada majlis yang sama, Najib juga mengumumkan sembilan daripada 10 sekolah perintis daripada program International Baccalaureate Middle Years Programme (IBMYP) telah menerima akreditasi IB World School, dan baki sekolah itu dijangka menerimanya akhir tahun ini.

“Sembilan sekolah kita kini menyertai kader terpilih 1,424 sekolah IBMYP di seluruh dunia. Ini adalah pencapaian luar biasa dan saya ingin menghargai usaha mereka untuk mencapai anugerah berprestij ini.

Saya ingin menegaskan bahawa usaha kerajaan dalam memperkuatkan pendidikan bukan hanya melibatkan penyediaan dana. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk tahun 2013 hingga 2025 merupakan pelan komprehensif terdiri daripada 11 peralihan untuk mentransformasikan sistem pendidikan.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) akan membangunkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi bagi meningkatkan potensi pelajar.

Saya menyebut contoh-contoh ini sebagai demonstrasi resolusi kerajaan bagi mentransformasikan Malaysia menjadi model global untuk pendidikan tinggi berkualiti,” katanya.

Najib turut menyampaikan sijil kepada pengetua-pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tapang, Samarahan, Sarawak; Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak; SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah; SMK Putrajaya Presint 9(2), Putrajaya; SMK Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan; Kolej Tunku Kurshiah, Bandar ENSTEK, Negeri Sembilan; SMK Seri Tualang, Temerloh, Pahang; SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bahru, Kelantan; dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, Terengganu.

IBMYP dimulakan pada pada 2013 di 10 sekolah menengah awam di seluruh Malaysia bagi menyokong satu daripada elemen teras Strategi Inovasi Kebangsaan, bagi membina Kemahiran Masa Depan pada Hari inii, menggalakkan konsep asas pemahaman antara budaya, komunikasi, pembelajaran holistik, pembangunan pelajar, kapasiti bagi Kemahiran Pemikiran Aras Tinggi (HOTS) dan hubungan antara disiplin.

Sementara itu, CEO/Pengarah Eksekutif Genovasi Malaysia Sdn Bhd Datuk Lee Yew Meng berkata GUC akan ditempatkan buat sementara bersebelahan Sekolah Genovasi di Seksyen 13, Petaling Jaya.

“Pelbagai program eksekutif GUC akan mensasarkan kira-kira sejuta pekerja Malaysia yang mempunyai pengalaman eksekutif dan penyeliaan yang signifikan tetapi tidak mempunyai kelulusan tinggi, ” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, AIM berkata GUC akan bekerjasama dengan TalentCorp untuk menawarkan program selaras dengan Senarai Pekerjaan Kritikal negara dengan sasaran bagi menyumbang kepada pencapaian pengangguran siswazah sifar serta menawarkan biasiswa kepada ibu tunggal dan pelajar daripada keluarga miskin.

Kolej universiti telah merancang setiap program untuk memasukkan keusahawanan, intrausahawanan serta kemahiran dan pengetahuan yang menggalakkan penciptaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan ekonomi berpendapatan tinggi untuk Malaysia, menurut kenyataan itu.

— BERNAMA