Penduduk Putrajaya Berkumpul di Street Dakwah@Putrajaya

Penduduk Putrajaya Berkumpul di Street Dakwah@Putrajaya

Ustaz Haryanto (kanan) bersama Imam Muda Aran menjayakan Street Dakwah@Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 11, baru-baru ini.

PRESINT 11 – Seramai 400 orang menghadiri Street Dakwah@Putrajaya bersama Imam Muda Aran, Ustaz Dzulkarnain Hamzah, Ustaz Harryanto dan Sham Kamikaze bersempena Karnival Komuniti dan Hari Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK) di Kompleks Kejiranan Presint 11, baru-baru ini.

Program tersebut merupakan anjuran Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Perbadanan Putrajaya, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

Pengarah Perkhidmatan Komuniti PPj, Mohammad Salleh berkata, program yang dianjurkan itu bertujuan mendekatkan penduduk sekitar Putrajaya dengan majlis atau aktiviti keagamaan dalam melahirkan generasi bijak soal agama.

“Dalam mendekatkan penduduk dengan majlis sebegini, kita juga dapat menyemai nilai-nilai murni di dalam kalangan masyarakat Putrajaya.

“Selain itu, ia dapat menyemarakkan lagi penglibatan masyarakat dalam pembangunan setempat dan untuk mempromosikan program-program kejiranan,” katanya.

Salah seorang penduduk yang hadir, Abdul Aziz Awang, 54, berterima kasih kepada pihak penganjur kerana beranggapan program sebegini dapat melestarikan lagi kehidupan masyarakat sekitar.

“Bukan itu sahaja, majlis ini juga banyak memberi manfaat kepada kami terutama hal-hal agama yang sudah pastikan menjadi pembimbing kita ke arah kebaikkan.

“Saya berharap lebih ramai dapat menyokong program sebegini agar diteruskan lagi dan menjadi lebih seronok dapat bersama rakan-rakan komuniti,” jelasnya.