‘MPI Generali Run 2016’ Tarik 5000 Peserta

‘MPI Generali Run 2016’ Tarik 5000 Peserta

Para pemenang mengikut kategori bergambar kenangan bersama selepas majlis penyampaian hadiah.

KUALA LUMPUR-  Suasana hujung minggu di Padang Merbok di sini, baru-baru ini cukup meriah apabila MPI Generali Insurans Berhad menganjurkan program larian ‘MPI Generali Run 2016’.

Memasuki tahun kelima penganjuran, larian tersebut telah disertai hampir 5000 peserta yang terdiri daripada warga kota dan masyarakat setempat tanpa mengira umur dan kaum.

Jayne.

Jayne.

Menurut Pengurus Besar Pemasaran dan Komunikasi Korporat MPI Generali, Jayne Liew, bilangan peserta saban tahun semakin meningkat sejak diperkenalkan pada tahun 2012.

“Pada tahun 2012, kami mendapat seramai 3,750 peserta dan bilangan itu meningkat sehingga tahun ini. Selain warga tempatan, program ini turut mendapat penyertaan daripada peserta luar negara seperti Los Angeles, California dan Australia.

“Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka 12km, Lelaki Veteran 12km, Wanita Terbuka 12km,  Wanita Veteran 12km, Lelaki 9km, Wanita 9km, Lelaki 5km, Wanita 5km dan 3km Fun Walk,” katanya ketika ditemui MyKLNews selepas tamat program.

Tambah Jayne, program berkenaan merupakan program larian komuniti bercirikan Healthy Lifestyle dan Work life Balance.

“Aktiviti larian seumpama ini merupakan satu bentuk riadah yang dapat membentuk masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Selain larian, pihak kami turut mendapatkan bengkel ‘My First Run Clinic’ untuk membantu peserta (pelari) baru untuk mempelajari petua-petua dan kesihatan serta ‘Project Good Deeds’ dimana menderma kasut sukan dan pakaian kepada orang asli di Kuala Lipis, Dengkil dan Hulu Langat,” jelasnya.

Murali.

Murali.

Sementara itu, juara kategori 9km, Murali A/L Muniandy tidak menyangka dirinya akan memenangi kategori itu.

“Saya tidak menyangka dapat memenangi kategori ini kerana sudah lama tidak berlatih. Ternyata, rezeki bukan sahaja berpihak kepada saya malahan isteri saya turut meraih gelaran juara bagi kategori Wanita Veteran 12km.

“Setiap kali ada program larian, pasti saya tidak ketinggalan menyertainya. Kadang-kala menang, kadang-kala kalah,” katanya yang menetap di Bukit Jalil.

Juara bagi kategori Lelaki Terbuka 12km, Lelaki Veteran 12km, Wanita Terbuka 12km dan Wanita Veteran 12km membawa pulang baucer produk New Balance bernilai RM 1000 manakala juara bagi Lelaki 9km dan Wanita 9km menerima baucer New Balance bernilai RM 600. Juara setiap kategori turut menerima cermin mata Sworke, jam tangan Garmin, medal dan trofi.