Masjid Jamek Kini Dilengkapi Tensile Umbrellas

Masjid Jamek Kini Dilengkapi Tensile Umbrellas

Masjid Jamek, Kuala Lumpur dilengkapi Tensile Umbrellas yang dijangka mampu menampung lebih 1000 jemaah.

KUALA LUMPUR – Dua lagi mercu tanda baru Kuala Lumpur iaitu ‘Count Down Clock’ dan Masjid Jamek yang dilaksanakan di bawah River of Life (RoL) akan mula dibuka kepada orang ramai bermula 15 April 2017.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mengikut reka bentuk moden dalam merealisasikan ‘Count Down Clock’ ia sudah pasti menjadi tarikan utama kepada peminat seni binaan.

Selain daripada dapat melihat paparan masa dengan pancuran air yang cantik, pengunjung juga berpeluang beriadah bersama keluarga kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan serta kawasan dihiasi tanaman landskap.

“Kita tahu semua pelancong sudah perasan akan kewujudan Masjid Jamek, Kuala Lumpur namun pihak kementerian telah mengambil langkah mengindahkan kawasan beribadah itu mengikut keperluan dan peredaran masa.

“Masjid Jamek yang sering dikenali dengan kepadatan ketika menunaikan solat fardhu Jumaat dan solat hari raya telah dinaik taraf dengan pembinaan ruang solat tambahan bumbung (6 ‘Tensile Umbrellas’) yang dijangka mampu menampung hampir 1000 jemaah,” menurut kenyataan media beliau.

Masjid ini menerapkan aspek pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan warisan
yang amat istimewa dalam sejarah negara kerana lahirnya Bandaraya Kuala Lumpur adalah bermula dengan pertemuan Sungai Gombak serta Sungai Klang.

Tengku Adnan berharap dengan adanya dua ikon yang menjadi mercu tanda baru kepada ibu kota mampu mengangkat Kuala Lumpur setanding dengan bandaraya bertaraf antarabangsa.