#MalaysiaNgaji Tarik 1000 Peserta Ke MTMZA

#MalaysiaNgaji Tarik 1000 Peserta Ke MTMZA

Program anjuran Rumah Ngaji tersebut mendapat penyertaan kira-kira 1000 orang

PRESINT 3 – Kira-kira 1000 orang membanjiri ruang solat Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) bagi mengikuti program #MalaysiaNgaji anjuran Rumah Ngaji dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan MTMZA, semalam.

Objektif program berkenaan adalah untuk menjulang al-Quran sebagai landasan kehidupan dan menggalakkan masyarakat membaca al-Quran, memahami serta mengamalkan al-Quran di dalam kehidupan seharian.

Sally

Sally

Salah seorang peserta, Sally Rahmat, 39 berkata, program sebegini amat bagus kerana ia secara tidak langsung mendidik diri dan jiwa bahawa kitab suci itu bukan setakat dibaca malah segala pengajaran dan perintah yang terdapat di dalamnya perlulah dilaksanakan dengan penuh taat.

“Ini juga merupakan salah satu peninggalan baginda nabi Muhammad S.A.W kepada umatnya yang perlu kita jadikan petunjuk lebih-lebih lagi kita semua tergolong dalam golongan akhir zaman.

“Sekiranya kita berpegang teguh dengan al-Quran, insyaAllah kita sentiasa di bawah perlindungan dari-Nya,” ujarnya ketika ditemui MyPutrajayaNews selepas tamat program kerohanian itu.

Irfan

Irfan

Sementara itu, salah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint (SMKPP) 5(1), Muhd Irfan Yusri, 14, berkata, ini merupakan program mengaji yang paling besar pernah disertainya.

Dia menambah, banyak yang dapat dipelajari daripada majlis tersebut lebih-lebih lagi kepentingan memahami isi dan kandungan al-Quran itu.

“Bagaimana kita hendak menjadikan al-Quran sebagai petunjuk sekiranya kita sedikitpun tidak memahami maksud tersurat dan tersirat yang tercatat di dalam kitab suci tersebut.

“Justeru, saya berharap, program sebegini dapat dilakukan lebih kerap lebih-lebih lagi terhadap golongan pelajar seperti saya,” katanya.

Program tersebut berakhir tepat jam 1.00 petang dan peserta bersama-sama mendirikan solat Zohor secara berjemaah.