Malaysia Bukan Negara Yang Gagal – Najib

Malaysia Bukan Negara Yang Gagal – Najib

Gambar Fail

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, Malaysia bukanlah negara yang gagal, sebaliknya adalah sebuah negara yang berkembang maju, berjaya menarik pelaburan besar dan diiktiraf oleh institusi kewangan global seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa bagi pembaharuan yang dijalankan.

Perdana Menteri berjanji dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini, beliau tidak akan menjejaskan kedaulatan Malaysia.

Beliau melabelkan mereka yang berkata, FDI membawa kepada tindakan negara menjual kedaulatan negara sebagai ‘pengkritik yang cetek pengetahuan ekonomi’.

“Untuk mengatakan sedemikian adalah benar-benar jahil dan menunjukkan begitu kurangnya kefahaman tentang bagaimana perdagangan antara negara membawa kebaikan kepada semua pihak terutama rakyat. Saya tidak akan menyerahkan seinci pun kedaulatan negara kita. Tidak sekali-kali,” katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan pada majlis Anugerah Media Asia ke-16 anjuran Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Sedunia (WAN-IFRA) di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang dan Presiden WAN-IFRA Marcelo Rech.

Perdana Menteri berkata Malaysia telah mengorak langkah dalam membina projek infrastruktur termasuk sistem pengangkutan awam bertaraf dunia yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

“Negara lain mengiktiraf apa yang kita lakukan. Keyakinan mereka terhadap Malaysia telah dibuktikan beberapa bulan lepas melalui siri pelaburan besar yang diumumkan oleh China, Arab Saudi dan India,” katanya.

Najib mengulas laporan yang disiarkan baru-baru ini oleh BAV Consulting dan Wharton School, Universiti Pennsylvania yang menamakan Malaysia sebagai negara terbaik untuk pelaburan dengan menyatakan Malaysia adalah negara pendahulu.

Beliau bagaimanapun memandang berat berita palsu yang diedarkan di arus perdana dan pembohongan diputar belit sebagai fakta termasuk mengenai Malaysia.

Turut hadir pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan Marcelo Rech, presiden Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Sedunia (WAN-IFRA) .

Malahan, kata Najib, jumlah besar pelaburan asing yang diraih Kerajaan, menunjukkan “penduduk seantero dunia percaya Malaysia adalah tempat yang baik untuk menjalankan perniagaan, membangunan perniagaan baharu dan berkembang.

“Mereka tidak silap. Malahan, BAV Consulting and the Wharton School, University of Pennsylvania baru-baru ini menebitkan laporan di mana mereka menyebut Malaysia sebagai negara terbaik untuk melabur. Mereka berkata kita jelas pendahulu yang ketara. Apakah ini bererti kita negara gagal?,” kata beliau.

Perdana menteri berkata trend berita dan laporan palsu ini tidak tertumpu kepada media sosial Malaysia.

“Sebuah akhbar asing yang terkenal telah menerbitkan pembohongan total mengenai Kerajaan. Mereka lakukan itu, misalnya, tentang pelantikan gabenor baharu Bank Negara tahun lepas.

“Mereka cuba melibatkan Yang di-Pertuan Agong, pada masa itu. Tanpa sebarang bukti dan hanya berdasarkan sumber tidak diketahui, sumber yang mungkin tidak wujud. Dan pelbagai sumber, termasuk pihak berkuasa bebas, yang tidak sesuai dengan sebahagian daripada naratif mereka, mereka tidak peduli.

“Mereka membenarkan diri mereka digunakan sebagai proksi media bagi pihak yang mencari untuk campur tangan dalam negara berdaulat ini dan mahu menukar pemerintahan ‘yang dipilih secara demokratik’. Etika kewartawanan lenyap, mengejar kepentingan diri untuk kemasyhuran peribadi, ” katanya.

Berhubung pertikaian fakta mengenai Malaysia, Najib berkata Malaysia mengecapi pertumbuhan sihat dan malah dalam keadaan ekonomi global yang gawat, Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus pada 2016.

“Kami menjangkakan angka lebih tinggi sedikit untuk tahun ini, dan terus meningkat pada 2018. Angka ini menunjukkan Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih daripada dua kali ganda daripada jangkaan IMF (International Monetary Fund) untuk negara maju bagi tempoh masa yang sama,” katanya.

Beliau menambah antara 2010 dan 2016, Malaysia menawarkan 1.8 juta peluang pekerjaan, iaitu lebih satu juta adalah pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Pendapatan negara kasar meningkat hampir 50 peratus. Kami hampir membasmi kemiskinan , mengurangkan kepada hanya 0.6 peratus.

“Kami berjaya mengekalkan inflasi dan kadar pengangguran yang rendah, dan telah diiktiraf oleh institusi global seperti Bank Dunia dan IMF bagi pembaharuan yang telah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata kebebasan bersuara berkembang maju di Malaysia, merujuk kepada kritikan terhadap kerajaan, menteri dan pegawai kerajaan dalam media Malaysia. – Bernama