Majlis Ilmu Untuk Belia

Majlis Ilmu Untuk Belia

PUTRAJAYA – “Jika dulu Festival Belia Putrajaya dipenuhi aktiviti-aktiviti muzik dan hiburan tetapi pada tahun ini pelbagai kelainan kita bawa seperti program yang anda hadiri hari ini,” jelas Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada program Syarahan Perdana Wise 4 Youth di Dewan Serbaguna Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Lebih 300 pengunjung Festival Belia Putrajaya 2015 hadir pada sesi tersebut yang memberikan platform untuk anak muda mendapatkan input agama Islam berteraskan konsep Wassatiyah, Intelektual, Signifikan dan Empati.

Khairy

Khairy

Khairy berkata, program sebegitu mampu menyampaikan mesej dan pengisian tentang kesederhanaan dalam Islam melalui pelbagai wadah seperti syarahan, pameran dan persembahan budaya.

“Walaupun program ini dirancang pada minit-minit akhir namun saya ingin ucapkan tahniah kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang telah menjayakannya dengan begitu sempurna.

“Saya berharap melalui program ini akan mendapat sambutan yang lebih meriah kerana golongan belia harus merebut peluang keemasan bertemu pakar-pakar dibawa khas oleh pihak penganjur,” jelasnya.

Turut hadir, Dr Jasser Auda sebagai penceramah jemputan yang berkongsi pelbagai informasi mengenai maqasid syariah.