KPPM Mahu PIBG SKPP 14(1) Terus Membantu Pentadbir

KPPM Mahu PIBG SKPP 14(1) Terus Membantu Pentadbir

Tan Sri Dr. Mohd Khair Mohd Yusuf (tengah) mahu melihat kelainan dan inovasi terus dilakukan oleh PIBG dan pentadbir sekolah.

PRESINT 14 – Pentadbir sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seharusnya mencipta kelainan tidak mengira melalui inovasi mahupun kreativiti bagi membantu mengolah sistem pendidikan sedia ada pada zaman ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Tan Sri Dr. Mohd Khair Mohd Yusuf berkata, sistem pendidikan negara sedia ada sentiasa memberi ruang yang luas untuk para pendidik dalam menambah nilai bagi menghasilkan murid berkualiti.

Tambahnya lagi, penambah nilai dalam sistem pendidikan tidak terhad kerana pelbagai dapat dilakukan antaranya menggunakan teknik ataupun kaedah pembelajaran berkumpulan ataupun secara riadah.

“Sudah pasti jika dapat dilaksanakan dengan baik, kita sendiri dapat melihat pelajar yang seimbang berteraskan Falsafah Pendidikan Negara seterusnya menjadi generasi pemimpin masa akan datang.

“Saya juga ingin memberi sedikit penekanan bahawa sistem pendidikan sekarang tidak terlalu berorientasikan peperiksaan kerana pihak kerajaan telah memulakan perubahan dari peringkat sekolah rendah,” jelasnya pada Sesi Dialog Hala Tuju Pendidikan Negara anjuran PIBG Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1), baru-baru ini.

Kata Khair, pihak kerajaan telak melaksanakan perubahan sistem berasaskan peperiksaan kepada kombinasi Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang mana mata merit diberikan kepada murid-murid berupaya membantu rakan-rakan sekelas.

Dalam pada itu, beliau juga memuji langkah PIBG SKPP 14(1) yang telah melaksanakan Pelan Perancangan Strategik bagi membolehkan persatuan membantu pihak sekolah dalam pelbagai bidang.

“Ini merupakan langkah yang sangat baik kerana ia adalah contoh baik dapat melihat persatuan membantu takkala kerajaan berusaha menangani tekanan dalam pembiayaan kos pengursan sekolah.

“Saya berharap pihak PIBG dan pentadbir sekolah ini terus mencipta kelainan dan melakukan inovasi dalam membantu para murid mencipta kejayaan yang berganda pada tahun-tahun akan datang,” tambah beliau.

Hadir sama pada sesi dialog tersebut, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Hajah Roaini Jaafar, Guru Besar SKPP 14(1), Haji Mohd Amin Hamzah dan Yang Dipertua PIBG SKPP 14 (1), Prof Adjung Mohammad Sahar Mat Din.