Kewujudan Felda Berkait Rapat Dengan Kepimpinan Negara – PM

Kewujudan Felda Berkait Rapat Dengan Kepimpinan Negara – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah AKKF, RM 1 Juta kepada Ketua Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Lok Heng Selatan Muhammad Bakar, 65, pada Hari Peneroka Felda 2017

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak yakin masyarakat Felda, yang memahami signifikan kewujudan Felda berkait rapat dengan kepimpinan negara, akan mempertahankan kerajaan hari ini yang berpusat di Putrajaya.

Perdana Menteri berkata sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2017 yang julung kali diadakan di Putrajaya dan bukan di peringkat rancangan adalah lambang kepada kewujudan Felda yang berkait rapat dengan kepimpinan negara yang melahirkan agensi itu 61 tahun lepas.

Menurutnya setiap warga Felda mempunyai hak dan saham kepada kewujudan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan hari ini.

“Tanpa warga Felda tidak mungkin Putrajaya wujud,” kata Najib, yang disambut tepukan gemuruh peneroka yang hadir pada sambutan itu di Dataran Putrajaya, di sini.

Beliau berkata kehadiran lebih 25,000 peneroka pada sambutan itu mencerminkan sokongan warga Felda terhadap kerajaan di mana mereka adalah sebahagian daripada penyokong tegar kerajaan yang masih ada di setiap rancangan.

Najib berkata terdapat juga sekurang-kurangnya 50,000 generasi kedua Felda di Lembah Klang serta mereka yang telah berjaya kerana Felda dan perjuangan kerajaan, yang akan terus menyokong kerajaan hari ini.

“Janganlah berangan-angan, jangan meniupkan cerita-cerita tidak benar kononnya masyarakat Felda tidak sokong kerajaan hari ini,” katanya.

Memetik kata-kata Allahyarham bapa beliau, Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein: “mereka yang tiada tanah, kita berikan tanah, mereka yang tiada pekerjaan kita berikan kerja dan tanah terbaik untuk rakyat terbaik”, Najib berkata ia adalah falsafah di sebalik penubuhan Felda 61 tahun lepas.

Hari ini, katanya Felda telah berjaya mengubah landskap luar bandar dengan menempatkan sejumlah 112,635 peneroka di 317 tanah rancangan.

Tambahnya Felda juga mampu menarik keluar lebih 100,000 keluarga daripada garis kemiskinan, dengan keluasan pembangunan sebanyak 550,000 hektar di seluruh negara.

Najib berkata Felda turut fokus kepada pembangunan modal insan dengan menyediakan peluang pendidikan kepada generasi baharu bagi melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah berprestasi tinggi antaranya tiga buah Asrama Semai Bakti dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda.

Bagi pengajian tinggi pula, katanya bermula 1 Jan 2014, Felda menyediakan peruntukan sebanyak RM15 juta setahun dalam memberikan faedah pengurangan 30 peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), khusus untuk anak-anak peneroka Felda.

“Bahkan juga dari 2004 hingga 2016 sahaja, Felda telah memperuntukkan lebih RM592 juta bagi tujuan pembangunan pendidikan dan kemahiran anak-anak peneroka, bermula dari peringkat sekolah rendah, menengah hingga diploma dan ijazah, sama ada di universiti tempatan atau di luar negara,” katanya.

Menurutnya, Felda telah melahirkan ramai tokoh yang menjadi contoh teladan kepada masyarakat, antaranya, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Zainal Rahim Seman, penceramah Datuk Ustaz Kazim Elias serta selebriti Chef Redzuawan Ismail (Chef Wan) dan penyanyi Asmawi Ani.

Mengenai cabaran yang dihadapi industri sawit dunia yang kebanyakannya di luar kawalan negara, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif antaranya mengadakan lawatan ke China supaya negara berkenaan meningkatkan pembelian minyak sawit dari Malaysia.

Najib berkata dari Januari hingga Jun tahun ini, eksport minyak sawit ke negara China telah melonjak sebanyak 13.4 peratus, berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Katanya harga minyak sawit mentah di pasaran ketika ini semakin stabil, dengan purata RM2,949 per tan metrik untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Sampai ada peneroka bisik kepada saya, Datuk Seri pergi China kerap lagi,” katanya secara berseloroh.

Mengenai resolusi Minyak Sawit dan Penyahhutanan Hutan Hujan oleh Parlimen Eropah yang mengaitkan kononnya tanaman sawit sebagai penyumbang kepada kadar penyahhutanan, beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta negara jiran Indonesia sedang mengambil langkah proaktif supaya resolusi itu tidak dilaksanakan.

Di penghujung ucapannya, Najib berkata kejayaan Felda adalah kejayaan bersama seluruh warganya dan nama Felda akan terus dijulang ke puncak gemilang.

— BERNAMA