MyBerita

Karnival Planet Ummah Perpaduan untuk Semua

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  merasmikan Karnival Planet Ummah bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor di Dataran Putra, Putrajaya baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri melancarkan Aplikasi Etikaf tiga masjid utama di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara Malaysia, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai tanda perasmian Karnival Planet Ummah.

Beliau turut melancarkan dana Tabung Derma Syria Care berjumlah RM5,000 untuk disalurkan kepada rakyat Syria  pada musim sejuk.

Selain itu, beliau juga menyaksikan penyerahan zakat berjumlah RM597,716.88 oleh QSR Brand (M) Holdings Sdn Bhd kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Turut hadir bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah JAKIM Tan Sri Dato’ Othman Mustapha.

Karnival Planet Ummah Masjid Utama ini diadakan bermula 30 November sehingga 3 Disember 2017 dengan pelbagai pengisian aktiviti yang menarik kepada para pengunjung seperti Forum Perdana Ehwal Islam, konsert Maulidur Rasul, kayuhan basikal, senaman dan lain-lain lagi. Karnival ini adalah bertujuan untuk membentuk perpaduan kepada semua manusia tidak kira berlainan agama mahupun bangsa serta bersatu hati mengimarahkan bumi Allah.

 

Show More

Related Articles