MyMimbar

Kamu Adalah Apa yang Kamu Makan

PUTRAJAYA – manusia dan makanan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Manusia memerlukan makanan bagi meneruskan kehidupan. Namun, sejauhmanakah makanan yang kita makan hari ini halal? Apakah ciri-ciri makanan halal bagi umat Islam? Adakah makanan tersebut haruslah bersih, suci, datang daripada sumber rezeki yang halal serta mempunyai logo halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sahaja?

Menjawab persoalan diatas, setiap aspek dalam kehidupan umat Islam haruslah mengikut syariat Al-Quran dan As-Sunnah. Aspek halal dalam pemakanan terbahagi kepada dua. Pertamanya, bagaimana sesuatu sumber makanan itu diperolehi. Kedua, sumber makanan tersebut halal atau sebaliknya dari segi syariat Islam. Oleh itu, Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang telah Allah rezekikan kepadamu dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya’. (Al- Maidah: 88). Ayat ini jelas menerangkan bahawa umat Islam perlulah menitikberatkan aspek halal dalam makanan kerana ia mempunyai kaitan dengan amalan dan ibadah mereka.

Ustaz Hamdan Muhamad ketika ditemui baru-baru ini.

 

“Contohnya makan udang adalah halal tetapi tidak bagus bagi pesakit Gout. Islam ini hebat kerana menyuruh kita mencari makanan yang halal dan baik untuk kesihatan. Sumber rezeki juga perlulah dititikberatkan walaupun jenis pekerjaan tersebut halal tetapi cara pelaksanaannya tidak betul maka, ia tidak boleh dikategorikan sebagai sumber rezeki yang halal. Selain itu, seorang pekerja yang bekerja tetapi tidak mencukupi tempoh bekerja selama lapan jam sehari akan memberi impak kepada diri sendiri dan institusi kekeluargaan.

“Hadis yang diriwayatkan dari Abu Bakar ra bermaksud: “Tidak akan masuk ke dalam syurga daging yang tumbuh dari sumber wang yang tidak halal dan nerakalah yang layak baginya.” (riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya,” kata Ustaz Hamdan Muhamad selaku Ketua Unit Komunikasi Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya baru-baru ini.

Hakikatnya, isu halal dalam makanan sememangnya begitu sensitif dan dititikberatkan buat umat Islam terutamanya masyarakat Islam di Malaysia. Hal ini kerana, pemilihan makanan yang baik dan semestinya halal penting untuk mengelakkan sebarang kemudaratan sekaligus menjamin kesihatan pada tubuh badan manusia itu sendiri.

Isu halal bukannya sesuatu yang lapuk tetapi tidak pernah habis dibincangkan oleh masyarakat. Malah, pada zaman era teknologi ini terdapat segelintir masyarakat rancak berdebat di media sosial mempersoalkan dan menyuarakan pendapat mereka mengenai keraguan status halal terhadap sesuatu produk makanan. Rentetan ini berlaku kerana umat Islam di Malaysia pernah digemparkan dengan berita mengenai keraguan status halal bagi sesetengah makanan.

Sehubungan itu, beberapa syarikat Islam telah mengambil peluang memperluaskan perniagaan mereka dengan mencipta alat pengesan daging (khinzir) babi atau dikenali sebagai ‘ Kit Pengesan Babi’ dalam makanan kepada umat Islam. Inisiatif ini juga sekaligus memberi salah satu jalan penyelesaian dalam membantu umat Islam mengurangkan kebimbangan mereka terhadap makanan yang dimakan memandangkan isu makanan halal menjadi salah satu aspek terpenting dimata dunia.

“Bagi saya, inisiatif ‘Kit Pengesan Babi’ ini merupakan satu pendekatan yang bagus kepada umat Islam kerana sesetengah masyarakat tidak mempunyai pendedahan maklumat terhadap sesetengah barangan yang mempunyai ciri-ciri haram. Contohnya, penggunaan kod huruf E sering disalahertikan mengandungi unsur lemak babi sahaja walhal terdapat juga sumber lain dalam kod E tersebut.

“Umat Islam perlulah menyemak maklumat penting dahulu pada sesuatu makanan sebelum menyebarkannya agar maklumat yang diterima itu sememangnya benar dan sahih telah diiktiraf oleh agensi tertentu. Janganlah mudah terpengaruh dengan apa-apa isu tanpa meneliti dahulu terutamanya yang berkaitan dengan isu-isu halal, bukan sahaja dalam makanan bahkan penggunaan barang solek wanita seperti bulu berus. Apabila berus tersebut dijual dengan harga yang murah, kita terus membuat keputusan untuk membeli tanpa mengetahui bulu berus tersebut benar-benar halal mahupun tidak. Sebagai pengguna kita kena tahu ciri-ciri bulu berus daripada bulu khinzir agar kita tidak mudah ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saranan saya, pengguna umat islam haruslah mendalami ilmu berkaitan pemakannan halal ini kerana jika kita tiada ilmu maka, kita mudah ditipu oleh pihak tertentu. Masyarakat juga perlulah cakna dengan isu semasa dengan mendapatkan maklumat daripada pihak yang berwajib mengenai makanan halal seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” Tegas Ustaz Hamdan.

Justeru, apakah peranan kita sebagai seorang umat Islam dalam memilih makanan halal? Sebagai umat Islam, jadilah pengguna yang bijak dan peka sebelum memilih sesuatu makanan agar terhindar daripada makanan yang kotor serta tidak halal. Pengguna juga perlulah memastikan logo halal pada pembungkusan makanan daripada pihak terlibat seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ketahuilah bahawa setiap apa yang kita makan sebenarnya membentuk keperibadian kita. Mudah-mudahan kita terhindar daripada golongan yang melanggar hukum Allah.

 

 

 

Show More

Related Articles