MyMimbar

Jiran Resepi Mustajab Perpaduan

PRESINT 8 – Majlis Perwakilan Penduduk MPP Zon Putrajaya menganjurkan Program Ziarah Subuh di Surau-Surau Putrajaya siri 10/2017 bersama AJK MPP Sub Zon B, Surau As- Syifak, Kementerian Wilayah Persekutuan, Biro Agama Umno Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan solat subuh secara berjemaah kemudian diteruskan dengan kuliah subuh oleh Ustaz Zambri bin Basir. Tema kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Basir ialah mengenai konsep kejiranan dalam bermasyarakat.

Berdasarkan kuliah tersebut, Ustaz Basir menekanakan intipati surah An-Nisaa’ ayat 36 yang mempunyai kaitan dengan jiran iaitu: ‘Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri’.

Ayat ini jelas menggariskan tiga aspek kewajiban umat Islam. Pertama ialah kewajiban kepada Allah dengan menyembah Allah dan tidak menyekutukannya. Kedua ialah kewajipan berbuat baik kepada kedua orang tua. Manakala kewajipan ketiga pula ialah berbuat baik kepada masyarakat seperti keluarga dan jiran tetangga.

Mengapa Islam sangat menitikberatkan konsep jiran tetangga dalam kehidupan? sememangnya tidak boleh terlepas daripada hidup bermasyarakat. Tidak mungkin manusia boleh meneruskan hidup tanpa berurusan dengan mana-mana pihak dalam kehidupan. Sifat saling memerlukan dan saling melengkapi antara satu sama lain sangat diterapkan dalam agama Islam. Hal ini kerana, Islam sangat menyeru umatnya melakukan kebaikan terutamanya dalam menunaikan ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah. Salah satunya ialah persekitaran hidup bersosial memerlukan manusia mengambil berat atau mempedulikan masyarakat yang ada disekitarnya seperti jiran tetangga.

Definisi jiran menurut syarak Islam ialah orang yang berdekatan dengan rumah kita di kiri, kanan, depan atau belakang mahupun ditingkat atas mahupun bawah sehingga 40 buah rumah dari setiap sudut. Ustaz Basir menerangkan beberapa adab penting dalam hidup berjiran menerusi program yang diadakan ini. Antaranya ialah mencari jiran dahulu sebelum mencari rumah. Jika seseorang  ingin mencari rumah sebagai tempat tinggal dan perlindungan, perkara pertama yang perlu pentingkan ialah kawasan persekitaran jiran terlebih dahulu.

Seterusnya, kita perlulah menghormati hak bagi seorang jiran. Hak pertama ialah membantu jiran jika mereka memerlukan pertolongan. Kedua, jika jiran meminta pinjaman haruslah pinjam kepadanya. Ketiga, jika jiran memerlukan sesuatu perlulah diberikan. Keempat, jika jiran sakit haruslah menziarahnya. Kelima, jika jiran mendapat kebaikan, ucapkan tahniah kepadanya. Keenam, jika jiran tertimpa bahaya haruslah bersedih bersamanya.  Ketujuh, jika jiran meninggal dunia, haruslah menghantar jenazahnya. Kelapan, jangan sekali-kali  meninggikan rumah sehingga menyekat angin untuk sampai kerumah jiran kecuali dengan izinnya. Seterusnya, jangan mengganggu perasaannya dengan bau masakan, melainkan jika akan memberikannya sedikit dari makanan itu. Terakhir, jika membeli baramgan hendaklah disorokkan agar jiran tidak nampak.

Jelaslah bahawa jiran tetangga merupakan salah satu aspek yang penting dan perlu dijaga sebaik mungkin oleh setiap umat Islam agar membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan angkuh. Sifat angkuh dan sombong akan menjauhkan seseorang daripada masyarakat. Hidup berjiran adalah kunci dan resepi mustajab manusia untuk membentuk perpaduan. Jika semangat kejiranan dijaga dengan baik maka, negara akan maju dan aman.

Show More

Related Articles