Jangan Mudah Terpengaruh – Tengku Adnan

Jangan Mudah Terpengaruh – Tengku Adnan

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meluangkan masa melawat gerai-gerai di sekitar program Negaraku@Komuniti 1Malaysia 2017 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bertempat Padang Kompleks Kejiranan Presint 9, Putarajaya.

PRESINT 9 – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor berharap agar generasi belia tidak mudah lupa jasa negara melalui keamanan yang sedang dikecapi pada hari ini.

Berucap pada majlis perasmian Negaraku@Komuniti 2017 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Tengku Adnan akui generasi zaman sekarang rapuh dan mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang sengaja ingin melihat perpecahan.

“Seharusnya kita lebih sedar dengan kejayaan dimiliki pada hari ini kerana ianya hasil daripada keamanan serta kesejahteraan yang diperjuangkan oleh pihak kerajaan sejak dahulu lagi.

“Kerajaan kali ini juga dilihat lebih memberi tumpuan kepada kehendak rakyat dengan mengutamakan beberapa keperluaan rakyat seperti di Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu menyediakan kediaman kos rendah dan mampu dimiliki golongan sasar,” jelasnya ketika ditemui.

Tengku Adnan mengucapkan syabas kepada Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang mengambil inisiatif menganjurkan program penuh dengan input-input positif kepada masyarakat tempatan.

Beliau berkata, program Negaraku@Komuniti adalah platform terbaik bagi memelihara serta meningkatkan lagi keamanan, kesejahteraan, dan perpaduaan antara penduduk setempat tanpa mengira beza budaya, agama, juga bangsa.

“Selaras dengan hasrat kerajaan melihat perpaduan yang erat. Program Negaraku@Komuniti mampu menjalinkan hubungan harmoni dan keterlibatan ahli-ahli Komuniti 1Malaysia dalam menguruskan aktiviti secara bergotong-royong,” tambah beliau.

Program anjuran Jabatan Penerangan WPKL tersebut telah mendapat kerjasama dan penglibatan dari kesemua Komuniti 1Malaysia di bawah penyelarasan seterusnya menawarkan penerangan dan perkhidmatan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) terus kepada rakyat.