Geng Pendekar Azam Ditahan Kes Curi Motosikal

Geng Pendekar Azam Ditahan Kes Curi Motosikal

Rosly (kanan) bersama DSP Tan Seng Lee, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Putrajaya (kiri) menunjukan barang bukti yang telah dirampas dan penemuan dua buah motosikal curi, di sini.

PRESINT 7 – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berjaya menahan tiga ahli kumpulan “Pendekar Azam” yang terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar Putrajaya sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, ketiga-ketiga suspek yang berumur 14 tahun itu telah ditahan pada malam 15 Mei lalu melalui risikan pihak polis.

Jelasnya, ketika penahanan dilakukan pihak polis turut menjumpai dua buah jenis motosikal berbeza bersama dua buah helmet serta jaket yang digunakan oleh suspek untuk mencuri.

“Sejurus soal siasat dilakukan, salah seorang daripada pesalah telah membuat pengakuan menjumpai satu master key untuk digunakan bagi aktiviti mencuri motosikal berkuasa rendah.

“Penahanan ketiga-tiga suspek telah menyelesaikan 12 kes kecurian motosikal di daerah Putrajaya yang dilaporkan sejak awal tahun 2017,” jelasnya kepada wartawan pada sesi sidang media di IPD Putrajaya, di sini.

Suspek yang masih aktif bersekolah itu menyasarkan motorsikal yang diletakkan di kawasan perumahan bertingkat dan beberapa lagi kawasan sekitar Putrajaya.

Tambah Rosly, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.