Festival Ekspo Megaraya Putrajaya 2016

Festival Ekspo Megaraya Putrajaya 2016

Halim (kiri) bersama Nasru (dua dari kiri) ketika meninjau tapak bazaar Megaraya di Putrajaya

PUTRAJAYA – Penganjuran Festival Ekspo Megaraya Putrajaya 2016 sentiasa dinanti-nantikan oleh penduduk Putrajaya ke­rana pelbagai barangan dan harga yang ditawarkan murah serta berpatutan bagi melengkapkan persiapan Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Megaraya Events dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya akan diadakan pada 23 Jun sehingga 3 Julai 2016 di Persiaran Perdana berhadapan Menara Ikhlas.

Pengarah projek, Muhammad Halim Muhammad Ali, berkata, sambutan pada tahun lalu amat menggalakkan dan penganjuran kali kedua ini akan memberi kelainan kepada para pengunjung di sini.

“Sebanyak 100 tapak jualan akan dibuka dengan pelbagai produk dan barangan memberi banyak pilihan kepada para pengunjung.

“Megaraya pada kali ini juga turut menjemput artis-artis tempatan untuk berniaga di bazaar selebriti selain persembahan lagu raya oleh artis jemputan,” katanya.

Halim menambah, pihaknya mensasarkan seramai 500 000 pengunjung membanjiri kawasan ekspo tersebut dengan pelbagai aktiviti lain turut diadakan.

“Pada tahun ini kami membawa kelainan iaitu dengan mengadakan Pertandingan Kompang Peringkat Parlimen Putrajaya,” katanya kepada My Putrajaya News.