MySukan

Felda United Gilap Bakat Alif Danial

“Dari kecil lagi memang saya suka terlibat dengan sukan olahraga tambahan pula ramai yang menjadi tulang belakang saya terutama ibu-bapa, guru-guru serta rakan-rakan,” kata Muhammad Alif Danial bin Muhd Anuar ketika dihubungi baru-baru ini.

Alif atau lebih mesra dengan panggilan Danial, 15 tahun, merupakan seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) telah menyerlahkan bakatnya dalam bidang sukan bola sepak sejak berumur 9 tahun lagi ketika mewakili bola sepak peringkat sekolah di Sekolah Kebangsaan Seberang Jerteh, Besut Terengganu. Minat yang mendalam dalam bola sepak telah membuatkan beliau tertarik untuk menyertai Akademi Bola Sepak di bawah Felda United bawah 17 tahun.

Felda United menubuhkan Akademi Bola Sepak buat golongan anak muda di bawah pengurusan Jabatan Inovasi & Pembangunan Generasi Baharu Felda yang mempunyai 3 pasukan (bawah-14, bawah-16 dan bawah-17), 70 pemain, 5 jurulatih dan 2 pegawai fisioterapi di bawahnya. Akademi bola sepak ini telah diketuai oleh Nazim Din sambil dibantu oleh jurulatih skuad bawah-14, Rozmin Musa, jurulatih skuad bawah-17, Nasir Shariff , jurulatih penjaga gol, Azli Muhammad dan Othman Katmon.

Berhijrah dari Terengganu ke Putrajaya meninggalkan keluarga tersayang semata-mata ingin mengasah bakatnya terhadap sukan bola sepak cukup menggambarkan betapa tinggi harapan Danial untuk melebarkan sayapnya dalam sukan bola sepak. Walaupun menghadapi sedikit kesukaran dalam aspek latihan pada mulanya namun, ia tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus berjuang mengharumkan nama Felda United dalam semua pertandingan yang disertai.

Sifat kesungguhan dan mampu melakukan yang terbaik untuk pasukan membuatkan Danial dipilih oleh jurulatihnya, Nazim Din menjadi peneraju atau ketua bagi pasukan ini. Danial diletakkan posisi keutamaan sebagai penyerang malah turut bermain bagi posisi lain apabila diarahkan oleh jurulatih. Seiring dengan keutamaan Akademi Bola Sepak Felda ini menerusi aspek diversiti yang menginginkan setiap pemain mempunyai kelebihan bukan hanya pada satu posisi sahaja.

Danial berjaya membuktikan bahawa pasukanya mempunyai kelainan tersendiri apabila beraksi sehingga nama mereka semakin meningkat naik melalui kejuaran yang diperolehi seperti Allianz Junior Football Camp (AJFC) Malaysia League 2017 (menewaskan Akademi PKNS), juara Liga 1MCC peringkat bawah-14 dan bawah-16 serta separuh akhir Liga Bola Sepak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Walaupun beliau berjaya menjaringkan hampir 50 gol sepanjang tahun 2017 namun, beliau tidak pernah mengabaikan pelajarannya. Hal ini kerana kesemua pemain di bawah Akademi bola sepak Felda ini dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 14, Putrajaya. Segala prestasi akademik mereka sentiasa dipantau dan dilaporkan oleh guru-guru kepada pengurusan Felda. Jika didapati prestasi mereka tidak memberangsangkan maka, tuisyen tambahan akan diberikan.

Matlamat semua atlet sukan semestinya untuk meraih kemenangan dalam sukan yang diceburi. Begitu juga buat Danial, beliau mempunyai cara tersendiri untuk mengekalkan prestasi dan kecergasan tubuh badan semasa di atas padang. Beliau turut menyertai pertandingan merentas desa atau jogathon di peringkat sekolah mahupun Kebangsaan menerusi Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM). Antara acara merentas desa yang beliau telah sertai ialah sejauh 6 kilometer serta larian 5000 meter, 1500 meter, 800 meter, 400 meter, 4 x 100 meter dan 4 x 400 meter.

“Harapan saya adalah ingin menjadi seorang pemain bola sepak yang berjaya dan mengajak lebih ramai kawan-kawan dekat kampung untuk sertai akademi seperti ini kerana mereka juga mempunyai berbakat tersendiri,” katanya yang menjadikan Safee Sali sebagai sumber inspirasi dalam sukan bola sepak.

Usaha pelbagai pasukan bola sepak di Malaysia menyediakan pelbagai inisiatif dan peluang kepada anak muda patut dipuji. Akademi bola sepak Felda boleh dikatakan bijak dalam mengorak langkah untuk lebih cemerlang dalam arena bola sepak.

Show More

Related Articles