Cameron Highland Ada Strawberi, Putrajaya Ada Rock Melon

Cameron Highland Ada Strawberi, Putrajaya Ada Rock Melon

Adnan (kiri) ditemani Haslinda (kanan) melihat berat buah Rock Melon yang dipetik terus dari Ladang Nurseri Taman Wetland Putrajaya bersempena ‘Jualan Rock Melon Terus Dari Ladang..Pilih, Petik, TImbang, Bayar.

PRESINT 13 – Setanding Ladang Strawberi di Cameron Highland, Pahang, Wilayah Persekutuan Putrajaya kini memiliki tarikan baharu iaitu ‘Jualan Rock Melon Terus Dari Ladang..Pilih, Petik, Timbang, Bayar di Nuseri Taman Wetland Putrajaya.

Hasil usahama Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB) bersama DHZ Resources Sdn Bhd (DHZ), komuniti Putrajaya mahupun pelancong berpeluang menikmati buah Rock Melon segar dari ladang pada harga berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif PFSB, Haslinda Khalid berkata, program jualan yang julung kali diadakan itu merupakan penuaian pertama antara dua pihak dengan penghasilan kira-kira 18,000 kilogram (18 Tan) buah Rock Melon.

“Rock Melon yang ditanam menggunakan kaedah fertigasi telah berjaya menghasilkan buah seberat 1.5kg dan 5kg setiap satu. Menariknya buah yang dikategorikan gred A serta B itu hanya dijual kepada pengunjung serendah RM5.00 per kilogram.

“Jika hendak dibandingkan dengan harga jualan diluar, Rock Melon PFSB lebih murah kerana harga runcit di antara RM7.00-RM8.00 per kilogram manakala jika di sesebuah Hypermarket boleh mencecah sehingga RM10.00,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis pelancaran jualan tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan.

Haslinda berkata hasrat PFSB untuk merealisasikan FLORIA sebagai jenama terunggul semakin hampir dengan inisiatif-inisiatif baharu dalam arena landskap dan juga hortikultur tempatan.

Terletak di Nurseri Pusat Taman Wetland Putrajaya, Haslinda menasihati agar pengemar atau peminat Rock Melon tidak menunggu lama kerana jualan dari ladang hanya akan berlangsung sehingga 6 September atau sementara stok masih ada.