Bermalam Di ’17 Muzium’ 30-31 Ogos ini

Bermalam Di ’17 Muzium’ 30-31 Ogos ini

Para pelajar digalakkan menyertai program tradisi JMM ini.

KUALA LUMPUR- Sempena meraikan sambutan kemerdekaan negara yang ke-59, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) akan mengadakan ‘Program Perdana Bermalam Di Muzium 2016’.

Program tersebut akan diadakan di 17 muzium di bawah JMM di seluruh negara pada 30 hingga 31 Ogos ini.

Antara muzium-muzium yang terlibat ialah Muzium Negara, Muzium Tekstil Negara, Muzium DiRaja, Muzium Alam Semulajadi, Muzium Automobil Nasional, Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Muzium Kota Kayang, Muzium JMM Wilayah Labuan, Muzium Adat, Galeria Perdana, Muzium Sungai Lembing, Muzium Seni Bina, Muzium Lukut, Muzium Perak, Muzium Matang, Muzium Kota Kuala Kedah dan Muzium Kota Johor Lama.

Program berkenaan terbuka kepada pelajar-pelajar sekolah dan berumur dari 14 hingga 17 tahun dimana yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM20.00.

Menurut penganjur, program itu dianjurkan bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang peranan institusi Muzium khususnya Muzium Negara sebagai sebuah pusat rujukan dan pendidikan yang menarik untuk dilawati.

“Justeru, program seumpama ini dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali dan mendekati muzium seterusnya memantapkan kefahaman bahawa Muzium bukanlah sebuah bangunan usang yang menyimpan barang-barang lama tetapi sebaliknya sebuah institusi pendidikan yang melaksanakan tanggungjawab memulihara, memelihara dan mempamerkan berbagai koleksi artifak sejarah dan kebudayaan yang amat bernilai dan seterusnya menyumbang ke arah pembangunan negara bangsa,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai borang penyertaan dan syarat-syarat yang dikenakan, sila layari www.jmm.gov.my/ms/program-perdana-bermalam-di-muzium-2016