Beli Pas Bulanan Elak Kompaun – Tengku Adnan

Beli Pas Bulanan Elak Kompaun – Tengku Adnan

Tengku Adnan

KUALA LUMPUR – Penghuni kediaman termasuk rumah kedai yang tidak mempunyai kemudahan parkir khas di ibu kota dinasihatkan supaya membeli pas bulanan parkir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengelak kenderaan mereka dikenakan kompaun kerana melebihi masa parkir.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata DBKL mengeluarkan pas parkir bulanan itu sebagai pilihan kepada bayaran parkir harian mengikut jumlah jam.

“Pas bulanan ini dapat mengelak pemilik kenderaan daripada dikenakan kompaun bagi kesalahan tidak membayar parkir mengikut tempoh jam seperti yang sering berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek kediaman baru Rica Residence Sentul di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keluhan warga kota tentang kenderaan mereka yang sering dikompaun oleh DBKL meskipun diletakkan di kawasan perumahan di sekitar ibu kota.

DBKL mengadakan sistem pembayaran pas bulanan bagi pengguna parkir di ibu kota dengan kadar bayaran RM300 sebulan di kawasan pusat bandar dan RM150 sebulan untuk kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan luar pusat bandar.

Bagi petak khas pula, caj RM400 sebulan dikenakan di kawasan pusat bandar, RM240 di kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan RM200 di kawasan luar pusat bandar.

Terdahulu, semasa merasmikan projek Rica Residence Sentul, Tengku Adnan berkata projek itu dibangunkan oleh Fajarbaru Builder Group Berhad (Fajarbaru) melibatkan pembinaan bangunan 39 tingkat dengan menempatkan 473 unit kediaman.

Projek itu dijangka siap pada suku pertama 2021 dan bakal menjadi pilihan warga kota kerana lokasinya yang strategik selain mempunyai akses pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT 2) Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya pada masa akan datang.

“Sehingga kini, sebanyak 70 peratus unit sudah dijual dengan harga permulaan ditawarkan RM600 sekaki persegi (55.74 meter persegi) bagi unit kediaman seluas antara 657 kaki persegi (61.03 meter persegi) hingga 1,238 kaki persegi (115 meter persegi),” katanya.

– Bernama