MyPresint

400 Kanak-Kanak Sertai Khatan Beramai-Ramai

PRESINT 9 – Seramai 400 orang kanak-kanak komuniti di Wilayah Persekutuan Putrajaya yang berumur diantara 4 hingga 12 tahun menyertai Program Berkhatan Beramai-ramai anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pusat Khidmat Masyarakat Putrajaya di Dewan Serbaguna, Kompleks Kejiranan baru-baru ini.

Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata program berkhatan itu adalah salah satu inisiatif bagi membantu meringankan perbelanjaan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Program ini merupakan aktiviti tahunan Pusat Khidmat Masyarakat Putrajaya dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan serta Perbadanan Putrajaya.

Seterusnya, kesemua peserta tidak dikenakan sebarang caj untuk berkhatan dan ubat-ubatan turut diberikan. Keadaan ini secara langsung memberi kemudahan kepada peserta yang berkhatan kerana mereka tidak perlu menyimpan wang untuk berkhatan kerana kerajaan telah menyediakan kemudahan kepada mereka.

Ibu bapa para peserta yang hadir ke program berkhatan ini juga sempat berkenalan dan beramah mesra sekaligus merapatkan silaturahim sesama penduduk di Putrajaya.

Dalam masa yang sama, seramai 16,600 pelajar dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menerima bantuan persekolahan sesi 2018.

Yayasan WilayahPersekutuan (YWP) telah memperuntukan  RM2.5 juta kepada pelajar bagi membantu dan meringankan beban perbelanjaan penjaga berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut Tengku Adnan, di bawah program ‘Ceria Ke Sekolah’, setiap pelajar akan diberikan baucar pakaian sekolah sejumlah RM100 serta kelengkapan lain seperti beg sekolah dan alat tulis.

“Baucar tersebut adalah untuk membeli pakaian dan kasut sekolah di dua kedai yang telah dikenal pasti iaitu Pusat Pakaian Hari-Hari dan kedai Canggih.

“Kesemua barang keperluan itu adalah untuk kegunaan pelajar pada sesi persekolahan tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada program penyerahan sumbangan kepada 1,150 pelajar sekolah Putrajaya di bawah program Ceria Ke Sekolah.

Via
Gambar : Raudhah, Liyana, Fizie
Show More

Related Articles