Ceriakan Putrajaya Dengan Jalur Gemilang – Tengku Adnan

Ceriakan Putrajaya Dengan Jalur Gemilang – Tengku Adnan

Gambar Fail

PRESINT 10 – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor mahu penduduk Putrajaya mula kibarkan Jalur Gemilang bersempena Bulan Kemerdekaan mulai hari ini.

Berucap ketika menerima kunjungan peserta Putrajaya Community Ride Siri 2 di kediamannya, beliau menyeru agar penduduk Putrajaya khususnya tidak menunggu lama untuk mengibarkan bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak perlu menunggu kerajaan menyuruh untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebaliknya bermula lebih awal tanda semangat cintakan negara yang telah merdeka 60 tahun.

“Bukan terlalu susah untuk menunjukkan kecintaan kita terhadap negara, beli dan kibarkan bendera kebanggaan Malaysia di setiap kawasan rumah dalam memeriahkan bulan kemerdekaan,” jelasnya.

Tengku Adnan turut menasihati penduduk Putrajaya yang masih mengibarkan bendera sudah lama atau lusuh agar tukar kepada yang baharu agar nampak lebih bersemangat dan ceria.

“Marilah kita bersama meraikan bulan Kemerdekaan ini dengan sepenuh hati sambil mengenang kembali jasa-jasa pahlawan negara yang sanggup berjuang demi mempertahankan hak Tanah Melayu,” katanya lagi.

Sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ akan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini manakala Hari Malaysia pula pada 16 September di Kota Kinabalu, Sabah.