PCR Siri 2 Kembali Selepas Berehat Panjang

PCR Siri 2 Kembali Selepas Berehat Panjang

Sebahagian peserta yang menyertai PCR Siri 2 berbasikal mengelilingi sekitar Putrajaya sambil menikmati keindahan di waktu pagi.

PRESINT 18 – Kembali selepas berehat pada bulan Ramadan serta Syawal, Putrajaya Community Ride Siri 2 masih menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 900 orang peserta terdiri daripada penduduk Putrajaya dan sekitar Lembah Klang.

Bermula di Perkarangan Kompleks Futsal 1Malaysia Presint 18, peserta berkayuh mengelilingi Presint 18, Presint 16, Presint 1, dan Presint 10 sambil menikmati keindahan waktu pagi di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Hadir menyempurnakan pelepasan, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor berasa gembira kerana ahli jawatankuasa penganjur berjaya mendidik orang ramai terutama penduduk Putrajaya mengenai kepentingan bersukan.

“Sejak awal lagi, pelaksanaan program ini bertujuan mendidik mereka menjalani gaya hidup sihat serta memberi peluang kepada satu komuniti mahupun kumpulan besar beriadah secara berjemaah.

“Tambahan pula, sejak pertama kali dianjurkan pada tahun lalu ia berterusan mendapat sambutan sehingga hari ini,” jelasnya selepas melayani para peserta yang singgah ke kediamannya di Presint 10.

Turut sama, Isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Datin Seri Utama Anggraini Sentiyaki.

Tengku Adnan berharap program yang begitu banyak memberi impak positif kepada orang ramai itu dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penambahan bilangan peserta.

“Dengan peningkatan bilangan peserta pada setiap siri turut menjadi titik tolak dalam meneruskan siri akan datang,” katanya.