Umur Bukan Penghalang Ketua Pengawas

Umur Bukan Penghalang Ketua Pengawas

Pemimpin-pemimpin membaca ikrar selepasa majlis penerimaan watikah.

PRESINT 9 – Seramai 223 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) IB World School menerima watikah perlantikan sebagai Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber dan Pengawas Sukan bagi sesi 2017/2018 pada majlis penyerahan di Dewan Tun Abdul Razak SMKPP 9(2), di sini.

Pada majlis tersebut, adik Maria Ariessa Mohd Tahir, 16, telah dilantik sebagai Ketua Pengawas bagi sesi 2017/2018.

Bagi Maria, usia bukan penghalang bagi dirinya untuk dipilih sebagai ketua meskipun tahu akan calon-calon yang lebih layak seperti kalangan pelajar lelaki atau pelajar tingkatan lima.

“Terpilih sebagai Ketua Pengawas ia turut membawa erti sebagai Ketua Pelajar dan saya perlu memberikan contoh yang terbaik tidak kira kepada rakan lebih muda atau tingkatan lima.

“Saya tahu ini adalah tanggungjawab yang sangat berat kerana saya telah menjadi tulang belakang kepada guru-guru untuk memastikan disiplin pelajar terkawal,” jelasnya lagi.

Walaubagaimana, Maria tetap yakin dengan kebolehannya dari segi akademik mahupun kokurikulum mampu membantu dirinya untuk menggalas tanggungjawab diberi dengan sempurna serta tidak mengabaikan pelajaran.

Sementara itu, Ketua Pengawas Pusat Sumber, Nurul Syamimi Hana Ngaini, 16 berkata dirinya tidak menyangka apabila beliau dipilih untuk menjadi ketua pada tahun ini.

“Saya sangat teruja kerana ini adalah satu dorongan dari guru-guru untuk jadikan saya lebih baik dari sebelum ini.

“Insha Allah, saya akan buat yang terbaik untuk membimbing rakan-rakan saya jika mereka ada masalah di Pusat Sumber nanti,” ujarnya.

Hana berharap agar rakan-rakan pengawas yang lain dapat membantu antara satu sama lain dalam menjalankan tugas yang di beri oleh guru.

Pengetua, Mohd Zarrawi Abdullah berkata, majlis diadakan bertujuan untuk memberi pengiktirafan serta semangat kepada para pengawas supaya melakukan tugas yang diamanahkan oleh pihak sekolah dengan dedikasi dan penuh tanggungjawab.

“Selain itu, pihak sekolah ingin meningkatkan tahap motivasi pelajar yang terpilih untuk menjalankan tugas dengan baik.

“Kami juga turut menggalakkan pelajar lain agar dapat mencontohi rakan-rakan yang terpilih,” jelasnya lagi.

Zarrawi berharap agar pemimpin yang dipilih ini dapat menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh guru-guru di SMKPP 9(2).

Majlis disempurnakan Oleh Pengerusi Persatuan Belia Pekerja Muda Malaysia Penaung Pusat Sumber Az Zarnuji, Dazma Shah Daut@Daud.