Tengku Adnan Serah Sumbangan Peralatan Gotong-Royong Perdana Dan Nur Ramadan

Tengku Adnan Serah Sumbangan Peralatan Gotong-Royong Perdana Dan Nur Ramadan

Tengku Adnan (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan peralatan gotong-royong dan baju kepada Wakil Surau Al-Huda Presint 5, Haji Alias Mohd Rejab.

PRESINT 2 – Usaha mengimarahkan surau-surau diteruskan lagi dengan Majlis Penyerahan Peralatan Gotong-Royong Perdana Dan Sumbangan Nur Ramadan 1438H/2017 Surau-Surau Di Parlimen Putrajaya di Dewan Serbaguna, Menara Seri Wilayah, Putrajaya, baru-baru ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor hadir menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000 serta peralatan-peralatan kepada 57 buah surau bersempena Gotong-Royong Perdana pada 13 Mei nanti.

Ujarnya lagi, ia merupakan inisiatif berterusan pada setiap tahun dari pihak beliau dalam usaha menarik minat komuniti terutama golongan belia mengimarahkan surau-surau di sini.

“Sudah menjadi kebiasaan penduduk Putrajaya berkumpul di setiap surau kawasan perumahan mereka dan bersama-sama membersihkan serta menghiasi terutama menjelang bulan Ramadan.

“Setiap peralatan yang dibekalkan untuk setiap surau telah diteliti sendiri pihak mereka akan keperluaan barang tersebut. Saya yakin penduduk setempat akan turun bersama menjayakan program ini dengan keikhlasan,” katanya kepada pemberita.

Pada masa yang sama, Tengku Adnan turut menyerahkan sumbangan wang tunai RM1,500 bersama bekalan makanan seperti gula, kopi, susu kepada setiap surau bagi kegunaan pada bulan Ramadan.

“Sumbangan yang diberikan untuk meringankan beban perbelanjaan surau bagi mengadakan majlis berbuka puasa dan moreh sepanjang Ramadan.

“Ini juga menjadi tradisi bagi saya untuk membantu menceriakan bulan Ramadan bagi menarik lebih ramai jemaah berbuka puasa di surau dan solat terawih secara berjemaah,” tambah beliau.

“Sumbangan yang diberikan untuk meringankan beban perbelanjaan surau bagi mengadakan majlis berbuka puasa dan moreh sepanjang Ramadan.

Beliau juga menasihatkan warga Putrajaya dapat kurangkan pembaziran serta tidak mengikut nafsu apabila hendak berbelanja di bulan Ramadan nanti.