Koperasi Rukun Tetangga Bakal Tambah Peluang Pekerjaan

Koperasi Rukun Tetangga Bakal Tambah Peluang Pekerjaan

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Panglima Joseph Kurup

PRESINT 2 – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan menambah peluang pekerjaan selepas pengumuman penubuhan 20 rangkaian Koperasi Rukun Tetangga menjelang akhir tahun ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Panglima Joseph Kurup berkata, penubuhan Koperasi Rukun Tetangga yang mendapat kerjasama daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Maktab Koperasi Malaysia dan Angkasa selaras dengan objektif kerajaan dalam menjayakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Selain itu, saya percaya JPNIN membuktikan bahawa jabatan ini berada di landasan yang betul untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Malaysia,” jelasnya di Majlis Bersama Media Sempena Pelancaran Koperasi Rukun Tetangga baru-baru ini.

Setiap Koperasi Rukun Tetangga bakal menerima geran permulaan sebanyak RM 4,500 dalam usaha mereka membimbing masyarakat untuk memulakan perniagaan serta memberi keutamaan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Tambah beliau bukan geran sahaja akan diberi malahan pihak JPNIN juga akan menyediakan khidmat nasihat, bimbingan serta latihan percuma kepada masyarakat yang layak menerima koperasi ini.

Menurutnya lagi, pembangunan koperasi ini juga boleh mewujudkan peluang-peluang pekerjaan terutamanya kepada masyarakat-masyakat luar bandar kerana ia boleh mengurangkan penghijrahan ke bandar demi mencari peluang pekerjaan.

“Saya berharap agar dengan penubuhan Koperasi Rukun Tetangga ini, ia akan mampu untuk menjana sumber pendapatan untuk kawasan Rukun Tetangga dan seterusnya mengembangkan ekonomi,” katanya.