Agong Berkenan Berangkat Ke Majlis Bacaan Yasin

Agong Berkenan Berangkat Ke Majlis Bacaan Yasin

Foto : PMO MALAYSIA

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat sempena Hari Pertabalan baginda di Masjid Putra, baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 7.30 malam disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib sebelum solat hajat dan diikuti bacaan Yassin serta doa selamat.

Bacaan Yasin dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Turut berangkat Pemangku Sultan Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Antara kenamaan lain yang turut menyertai majlis itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Imam Besar Masjid Putra Datuk Abd Manaf Mat.

Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agomg ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Dis tahun lepas.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara, 24 April ini.