SKPP 8(2) Dan SMKPP 9(2) Terima Anugerah Sekolah Cemerlang Sukan

SKPP 8(2) Dan SMKPP 9(2) Terima Anugerah Sekolah Cemerlang Sukan

Guru Penolong Kanan SKPP 8(2), Nurul Farina Jamaluddin (kiri) dan Pengetua SMKPP 9(2), Mohd Zarrawi Ravi Abdullah (kanan) sempat bergambar bersama Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah), Roaini Jaafar (tiga dari kiri) selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan dan Kokurikulum 2016, baru-baru ini

PRESINT 16 – Sekolah Menengah Kebangsan Putrajaya Presint 9(2) pertama kalinya diumum sebagai pemenang Anugerah Sekolah Cemerlang Sukan kategori sekolah menengah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum 2016 di Dewan Besar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, baru-baru ini.

Pengetua SMKPP 9(2), Mohd Zarrawi Ravi Abdullah, bersyukur dan begitu gembira dengan pemilihan sekolahnya sebagai penerima kerana ia merupakan anugerah pertama seumpama itu dimenangi.

“Alhamdullilah, ini merupakan kali pertama sekolah kami menerima anugerah sekolah cemerlang. Usaha bersama warga pendidik yang berusaha gigih meningkatkan kecemerlangan akademik sekolah membawa hasil yang tidak terkata.

“Kejayaan hari ini bukan mudah untuk dimenangi tetapi dengan sikap kerjasama dan membantu satu sama lain dapat mengharumkan nama sekolah. Saya harap dengan kejayaan diperoleh hari ini dapat dikekalkan pada masa yang akan datang,” jelasnya ketika ditemui.

Hadir pada majlis tersebut, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Roaini Jaafar.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(2) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sekolah Cemerlang Sukan kategori sekolah rendah dengan mengatasi enam sekolah lain yang turut tersenarai di peringkat akhir.

Guru Penolong Kanan SKPP 8(2), Nurul Farina Jamaluddin berkata, kemenangan tersebut tidak pernah disangkakan pada tahun ini kerana saya melihat terdapat 6 buah sekolah dalam senarai dan kesemuanya sekolah terbaik.

“Kemenangan diperolehi hari ini mungkin disebabkan pencapaian yang memberangsangkan daripada pelajar-pelajar dan guru-guru di setiap pertandingan mahupun kejohanan disertai pada tahun lalu.

“Saya igin berterima kasih kepada semua pihak membantu, tidak dilupakan juga kepada warga pendidik yang berusaha gigih meningkatkan kecemerlangan akademik sekolah. Saya harap agar kejayaan ini tidak behenti di sini tetapi dapat diteruskan lagi di masa hadapan,” katanya.