Berbesar Hati Melihat Kesungguhan Meningkatkan Pencapaian Akademik Sekolah Putrajaya – Tengku Adnan

Berbesar Hati Melihat Kesungguhan Meningkatkan Pencapaian Akademik Sekolah Putrajaya – Tengku Adnan

Tengku Adnan (dua dari kiri) sempat meluangkan masa berbual bersama penerima anugerah cemerlang SPM 2016 selepas majlis perasmian, di sini.

PRESINT 5 – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor berbesar hati melihat kesungguhan dan keikhlasan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya dalam berusaha meningkatkan tahap pencapaian akademik secara keseluruhan dan menghargai para pelajar.

Berucap pada Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, kejayaan yang dikecapi para pelajar hari ini bukan sahaja terletak pada usaha dan kesungguhan tetapi peranan yang dimainkan oleh ibu bapa serta guru-guru yang tidak pernah berhenti memberi.

Katanya, atas semangat bersatu padu dan kerjasama inilah, Putrajaya sentiasa menunjukkan pencapaian yang teratas serta membanggakan.

“Atas keprihatinan untuk merealisasikan matlamat sebagai negeri terbaik dalam pencapaian akademik, pihaknya iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan turut menghulurkan sokongan dengan membayai beberapa aktiviti khusus buat pelajar seperti ‘Youth Leader’ dimana menjadi medan mencungkil bakat kepimpinan pelajar dan banyak lagi.

“Dalam pada itu, majlis diadakan pada hari ini juga bertujuan memberikan pengiktirafan kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang akademik seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2016,” jelasnya.

Tambah Tengku Adnan, ia dapat menyuntik semangat para pelajar untuk saling bersaing meningkatkan pencapaian masing-masing dan menjadi penyumbang dalam peningkatan prestasi akademik khususnya di Putrajaya.

“Kita seharusnya menghargai pencapaian para pelajar dan digalakkan dari semasa ke semasa kerana mereka ini merupakan aset dan modal insan negara pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berharap agar anugerah pada tahun ini dijadikan sebagai pendorong dan peransang untuk terus berusaha melonjakkan kecemerlangan melalui kerjasama pada berteraskan semangat ‘espirit de corps’ sebagai tonggak kejayaan.