Blok B Muncul Juara Keseluruhan Piala Pengerusi KRT P15-12A

Blok B Muncul Juara Keseluruhan Piala Pengerusi KRT P15-12A

Pasukan Blok B bergambar kenangan bersama Pengerusi KRT Presint 15, Fadlzly Che Chat selepas dinobatkan sebagai johan Johan keseluruhan Kejohanan Badminton Tertutup Komuniti Piala Pengerusi KRT P15-12A, baru-baru ini

PRESINT 15 – Pasukan Blok B muncul juara keseluruhan Kejohanan Badminton Tertutup Komuniti Piala Pengerusi KRT P15-12A anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Presint 15 di Dewan Komuniti Presint 15, baru-baru ini.

Kejohanan yang memasuki tahun kedua itu telah mendapat sambutan menggalakan daripada komuniti setempat selepas kira-kira 40 peserta mendaftarkan diri pada pertandingan kali ini.

Pengerus Pasukan Blok B, Mohd Shekar Omar berkata, kemenangan diraih kali ini sememangnya tidak dijangka kerana melihat pertambahan penyertaan serta pasukan yang jauh lebih baik serta berpengalaman dalam pertandingan.

Jelasnya lagi, kekuatan kesemua pasukan kelihatan seimbang dari pusingan awal dan sukar untuk meramal siapa yang mampu membawa pulang juara keseluruhan.

“Mungkin ini yang dikatakan tuah apabila keserasian pemain pasukan Blok B menjadi faktor utama kami berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan tahun ini.

“Selain itu, saya sangat berpuas hati melihat kejayaan yang diraih telah menampakkan semangat kerjasama serta keserasian antara satu sama lain,” ujarnya ketika ditemui.

Beliau juga berharap pasukannya akan berusaha memperbaiki corak permainan dan terus menyokong sukan-sukan yang dianjurkan oleh komuniti setempat khususnya di Putrajaya.