SKPP 16(2) Juara Dua Tahun Berturut-Turut

SKPP 16(2) Juara Dua Tahun Berturut-Turut

Setiausaha Sulit Kanan Kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Rahimi Rejab bergambar kenangan bersama Pemenang Kejohanan Catur MSSMWP

PRESINT 18 – Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (2) tidak menghadapi sebarang masalah bagi mengekalkan kejuaraan Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1), baru-baru ini.

Penyelaras Kelab Elite Chess SKPP 16 (2), Fahizal Azzir Iskander berkata, ia merupakan kejuaraan kali dua yang kecapi kelabnya dalam masa dua tahun seterusnya mengangkat sekolah mereka sebagai pasukan terbaik dalam pertandingan catur.

“Kemenangan ini juga disebabkan keikhlasan pihak sekolah telah banyak membantu para peserta terutamanya dalam penyediaan tempat dan alatan bagi memastikan murid mencapai kejayaan dalam bidang mereka minati.

“Melihat dari sudut seorang pengajar, saya berasa bangga kerana pemain catur sentiasa mendengar nasihat yang diberikan dan memberikan sepenuhnya perhatian dalam permainan meskipun pada peringkat awal,” jelasnya lagi.

Beliau juga berharap dengan kemenangan diraih itu memberi kelebihan buat pasukannya menghantar lebih ramai pemain bertanding pada kejohanan MSSM 2107 di Pahang.

Hadir menyempurnakan majlis perasmian dan penyampaian hadiah, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Rahimi Rejab, teruja melihat kesungguhan setiap sekolah menghantar wakil pada pertandingan tahun ini.

Tambahnya, semangat ini akan memberikan kesan yang baik kepada murid berbakat apabila mereka berpeluang pergi ke peringkat lebih tinggi dan menimba banyak lagi ilmu pertandingan catur.

“Tidak setakat itu sahaja, kita juga mampu melahirkan generasi yang bijak pandai dan berkepimpinan.

“Mengikut peredaran zaman sekarang, satu sikap penting ke arah melahirkan generasi muda yang berketerampilan adalah tidak membuat keputusan secara terburu-buru,” katanya.