Tuah Gurindam Merbuk RM 60,000

Tuah Gurindam Merbuk RM 60,000

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail (tengah) sedang menyampaikan sebuah piala kemenangan kepada Mohd Yashfin Nor Iman selepas dinobatkan sebagai Juara Gurindam Merbuk Putrajaya 2017 dalam Kategori Remaja baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Tuah gurindam merbuk RM 60,000 milik Mohd Yashfin Nor Iman, 25, apabila dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Gurindam Putrajaya dalam kategori Remaja yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya di Padang Semarak ,Taman Wetland Putrajaya, baru-baru ini.

“Saya tidak menyangka penyertaan tahun ini sangat bertuah kerana mampu bersaing dengan cemerlangnya bersama lebih 100 peserta lain.

“Alhamdullillah saya sangat bersyukur dan berpuas hati kerana dinobatkan sebagai johan kategori setelah empat kali mencuba sebelum ini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kemenangan ini akan menyemarakkan lagi semangat untuk menyertai pertandingan akan datang.

Yashfin turut memberitahu latihan yang diadakan setiap hari bukan hanya untuk melatih suara tetapi menjaga kesihatan merbuknya.

“Saya berharap pertandingan seperti ini dapat diteruskan supaya lebih ramai lagi peminat tegar gurindam Merbuk dapat hadir memeriahkan lagi pertandingan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail mengucapkan ribuan tahniah dan terima kasih kepada para peserta yang memberikan komitmen sepanjang berlangsungnya pertandingan.

Penganjuran Gurindam Merbuk Putrajaya tersebut merupakan penganjuran kali ke-5 dianjurkan oleh PPj dengan kerjasama rakan strategik Persatuan Seni Merbuk Malaysia.

Hasim berkata penganjuran ini bertujuan mengumpul semua penggemar burung merbuk di dalam negara berkunjung di Putrajaya dan secara tidak langsung meningkatkan kedatangan pelancong di Putrajaya.

Selain itu, seramai 315 peminat burung merbuk di seluruh Malaysia bertanding dalam kategori A (burung merbuk suara kasar), kategori B (burung merbuk suara sederhana), kategori C (burung merbuk suara halus) dan kategori remaja untuk menonjolkan keunikan dan kelunakan melodi suara burung merbuk masing-masing.

Bagi gurindam burung merbuk kategori remaja dinilai berdasarkan suara dasar, tengah, halus dan suara anak burung yang dimiliki oleh burung merbuk itu.