Pertandingan Fotografi Pelancongan PPj Tawar RM34,000

Pertandingan Fotografi Pelancongan PPj Tawar RM34,000

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail (tengah) bergambar kenangan bersama barisan-barisan penaja yang menaja untuk “Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya 2017”, baru-baru ini.

PRESINT 3 – Hampir RM34,000 hadiah keseluruhan menanti pemenang Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya 2017 yang julung kalinya dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) bermula 1 April hingga 7 Julai 2017.

Pertandingan yang menawarkan tiga kategori berbeza kepada peminat kamera digital itu turut mendapat kerjasama daripada buletin komuniti Putrajaya yang juga dikenali sebagai MyPutrajayaNews.

Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail berkata, pertandingan yang dianjurkan itu merupakan salah satu cara dalam mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan yang memaparkan seni bina bangunan unik dan keindahan landskap.

Jelasnya lagi, ia secara tidak langsung memberi pendedahan kepada para peserta mengenai produk-produk yang ditawarkan oleh PPj terutamanya seperti kepelbagaian aktiviti di Taman Wetland.

“Pertandingan kali ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, Senibina Putrajaya, Alam Semulajadi dan Fotografi Dron. Kami juga mengekalkan terma pertandingan yang dianjurkan pada tahun sebelumnya iaitu penyertaan percuma.

“Uniknya pertandingan tahun ini apabila kami membuka kategori dron yang juga pertandingan pertama fotografi menggunakan kaedah terbaru dalam menghasilkan gambaran dari sudut atas,” jelasnya pada majlis tersebut.

Syarat-syarat pertandingan boleh dicapai melalui laman sesawang PPj www.ppj.gov.my dan laman sosial www.facebook.com/putrajaya.

Sebarang pertanyaan atau makluman lanjut mengenai pertandingan boleh menghubungi talian 03-88877736 (En. Adi Khirman) atau 03-88877276 (En. Khairul Faizi).