Dua Atlet SMKPP 8(1) Muncul Olahragawan Dan Olahragawati MSSM Putrajaya

Dua Atlet SMKPP 8(1) Muncul Olahragawan Dan Olahragawati MSSM Putrajaya

Haikal dan Syazwani muncul sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Kejohanan Balapan Dan Padang MSSM Putrajaya baru-baru ini.

PRESINT 14 – Dua atlet balapan Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) berjaya dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Wilayah Persekutuan Putrajaya, baru-baru ini.

Muhammad Haika Daniel Badrul Hisham, 15, meraih gelaran olahragawan kejohanan selepas berjaya menyumbang pingat emas buat sekolahnya dalam acara 100 meter lelaki bawah 15 tahun dan 200 meter bawah 15 tahun.

Beliau tidak menyangka dua pingat emas yang disumbang menjadi titik tolak dalam pemilihannya sebagai olahragawan pada tahun 2017.

“Saya tidak pernah terbayang mampu terpilih sebagai olahragawan kerana saingan terlalu hebat yang diberikan setiap atlet bertanding.

“Walaubagaimanpun, saya bersyukur kepada tuhan dan berharap mampu melayakkan diri ke peringkat kebangsaaan melalui catatan masa yang dirakam pada MSSM Putrajaya kali ini,” jelasnya ketika ditemui.

Sementara itu, Nurul Syazwani Izzati Mohd Saiful Azahar, 17, terpilih sebagai olahragawati kejohanan dengan mengutip dua pingat emas dan satu pingat perak.

“Kemenangan kali ini membakar semangat saya untuk melayakkan diri ke peringkat kebangsaan seterusnya mengharumkan nama Putrajaya dalam acara balapan.

“Terima kasih kepada ibu bapa, jurulatih dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang menjalani latihan sebelum kejohanan bermula,” ujarnya.

SMKPP 8(1) bagaikan meraih gelaran berganda apabila turut menjadi johan keseluruhan buat kali ke-10 pada kejohanan tersebut.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Datin Seri Nooriza, berkata beliau berasa bersyukur kerana SMKPP 8(1) mengekalkan kejuaraan yang ke- 10 kali untuk tahun 2017.

“Alhamdulillah, saya cukup gembira dengan prestasi ditunjukkan para atlet dan beranggapan ia sebagai hadiah untuk tahun terakhir saya di sekolah ini” jelasnya.