Jaga Solat Kunci Kejayaan Pelajar Cemerlang SPM 2016 SMKPP 8(1)

Jaga Solat Kunci Kejayaan Pelajar Cemerlang SPM 2016 SMKPP 8(1)

Pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang Sijil Pembelajaran Malaysia (SPM) 2016, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1), adik Izzatul (lima dari kiri) dengan keputusan 10A, manakala adik Izzati yang perolehi keputusan 9A (empat dari kiri) dan adik Aiman (empat dari kanan) dengan keputusan 8A bergamba bersama ibubapa masing-masing selepas majlis berlangsung.

PRESINT 8 – Menghormati guru dan tidak meninggalkan solat merupakan kunci kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1), Izzatul Nur Atiqah Roslan meraih keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

“Saya masih tidak percaya dengan keputusan yang telah diperolehi hari ini namun bersyukur dan seronok kerana dapat membanggakan ibu bapa saya.

“Selain membuat ulang kaji secara sendirian mahupun berkumpulan, tidak meninggalkan solat dan membaca al-quran juga kunci untuk kejayaan ini,” jelasnya selepas majlis penyampaian slip SPM 2016, di sini.

Beliau berharap dengan keputusan yang membanggakan ini dapat melanjutkan pembelajaran sebagai seorang doktor dan berjaya pada masa akan datang.

Sementara itu, turut mendapat keputusan cemerlang dengan 9A, Nurul Izzati Ilyani Zamri berterima kasih kepada guru-guru serta ibu bapa yang tidak mengenal erti penat untuk membantu dirinya.

Anak guru Bahasa Melayu SMKPP 8 (1) itu juga memberitahu kejayaan diperolehinya hasil berkat ilmu yang dicurahkan insan bergelar guru.

“Semasa menduduki peperiksaan lalu saya kurang yakin untuk menjawab soalan SPM 2016 yang agak susah dari tahun sebelumnya.

“Alhamdullilah saya tetap bersyukur dengan kejayaan ini dan berharap mendapat peluang untuk menyambung pengajian perniagaan di Universiti nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Aiman Syakirin Basri yang memperolehi keputusan 8A bagi SPM 2016 berasa amat gembira setelah beberapa bulan yang lalu memberi tumpuan sepenuhnya akhirnya mendapat keputusan yang memuaskan.

“Sebelum peperiksaan sebenarnya SPM 2016 bermula saya telah memberi tumpuan yang sepenuhnya semasa guru mengajar di hadapan, saya juga setiap hari telah menghadiri kelas petang yang diadakan guru.

“Walaupun dengan memperolehi keputusan 8A ini bagi saya ia sudah pun membanggakan kedua ibubapa saya yang hadir hari ini, insyallah saya akan melanjutkan pembelajaran saya ini dalam bidang Information and Communications Technology (ICT),” katanya.