Minggu Bersama Jemaah dan Ihtifal Lil Atfal Meriah

Minggu Bersama Jemaah dan Ihtifal Lil Atfal Meriah

Sebahagian jemaah yang hadir ke Progam Minggu Bersama Jemaah dan Ifhtifal Lil Atfal di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin, Presint 3, baru-baru ini

PRESINT 3 – Minggu Bersama Jemaah dan Ihtifal Lil Atfal anjuran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencatatkan pertambahan jemaah dalam setiap aktiviti yang dianjurkan bermula 8 hingga 10 Disember lalu.

Ehsan Mohd Hosni

Penolong Pengarah Kanan MTMZA, Ustaz Ehsan Mohd Hosni berkata, program yang dianjurkan tiap tahun itu bertujuan memberikan ilmu agama terutama dalam membincangkan kitab-kitab pada setiap aktiviti di Dewan Solat Utama, di sini.

“Mengambil contoh pada malam pertama program, pihak penganjur menjemput Profesor Madya Dr. Hasnan Kasan bagi menerangkan kitab mengenai ‘Sifat Solat Sempurna’ mengikut Mazhab Imam Syafie.

“Pemilihan panel jemputan dibuat berdasarkan pengalaman mereka dalam kajian serta memberi penerangan agar lebih mudah bersoal jawab bersama jemaah yang menyertai perbincangan itu,” ujarnya ketika ditemui.

Selain Diskusi Kitab, penganjur juga menyediakan aktiviti lain seperti Hafazan Al-Quran, Mewarna, Azan dan Iqamah, Tulisan Jawi serta Khat, dan banyak lagi yang sesuai bagi setiap lapisan umur.

Ehsan turut berharap selepas berakhirnya program ini, jemaah serta komuniti setempat dapat terus mengimarahkan masjid kerana setiap hari pihak MTMZA menyediakan aktiviti buat mereka seperti bacaan Al-Quran, Kitab dan banyak lagi.