Hidangan Tradisi Warisan Budaya PICC Serendah RM98

Hidangan Tradisi Warisan Budaya PICC Serendah RM98

Chef Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) (dari kiri) Mohd Fadzil Mat Hairy, Abdul Rahim Abu Bakar, Hamdan Ahamd, Mohd Shahir Zakaria dan Muhamad Rusmi Che Dol menunjukan menu hidangan berbuka puasa pada majlis preview Bufet Ramadhan PICC bertemakan 'Santapan Warisan Budaya'

PUTRAJAYA – Bersempena bulan Ramadhan yang bakal tiba, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) mempromosikan Kempen Ramadhan kali ketiga dengan lebih 300 jenis hidangan disediakan.

Bertemakan ‘Hidangan Tradisi Warisan Budaya’, PICC memberi suasana seperti di kampung dengan pelbagai juadah tradisi seperti gulai kawah, kerabu, serta kuih-muih tradisional.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badlishah Ahmad, berkata juadah yang disediakan sangat istimewa dan tidak dapat dibeli di gerai biasa.

“Kita memahami kebiasaannya orang ramai akan mencari juadah sedemikian ketika berpuasa kerana ingin kelainan pada hari biasa.

“Selain makanan tradisi Malaysia, kami juga menyediakan makanan Barat untuk menarik minat pelancong luar mencuba hidangan yang ada di sini,” jelasnya pada sidang media.

Dalam pada itu, pihak pengurusan PICC juga menyediakan kemudahan surau bagi pengunjung menunaikan solat fardhu serta tarawih secara berjemaah.

Badlishah memberitahu persembahan muzik juga akan diadakan bagi menghiburkan pengunjung ketika menjamu selera.

“Pengunjung akan dihiburkan dengan dendangan Iftar Akustika bersama Mawi Akademi Fantasia dan Zamani diiringi dan muzik yang berentak rancak dan perlahan.

“Selain itu, lagu pop dan lagu berunsur ketuhanan juga akan dipersembahkan sebelum menjelang Syawal untuk menaikkan suasana,” Jelasnya.

Pengurus Operasi Makanan dan Minuman PICC, Mahmad Anuar Othman, pula berkata antara hidangan utama yang disediakan ialah kambing panggang, beriani PICC, nasi dagang Terengganu, dalca sayur dan papadom.

Menurutnya juga akan menawarkan beberapa jenis menu baharu yang akan bertukar setiap hari, yang bakal membangkitkan selera para pengunjung dan 16 hidangan pembuka selera semasa buffet dijalankan.

“Selain itu, kami juga menyediakan kambing panggang setiap hari sebagai tarikan kepada pengunjung yang datang ke buffet ini,” katanya yang akan bekerjasama dengan cef-cef semasa buffet itu berlangsung.

Kempen Ramadhan bersama PICC akan bermula pada 8 Jun hingga 3 Julai 2016 dengan harga serendah RM98 untuk dewasa serta RM49 bagi kanak-kanak 6 hingga 12 tahun.