16,500 Banduan Selesai Jalani Sistem Parol Sejak 2008

16,500 Banduan Selesai Jalani Sistem Parol Sejak 2008

KUALA LUMPUR – Seramai 16,500 banduan selesai menjalani sistem parol sejak ia diperkenalkan pada 2008, kata Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata sistem itu, yang membolehkan banduan menghabiskan baki hukuman di luar penjara, dilaksanakan bagi memudahkan mereka mendekatkan diri dengan keluarga dan masyarakat.

“Pencapaian sistem ini baik apabila sebanyak 99 peratus daripada Orang Diparol (ODP) memperoleh pekerjaan manakala kadar ‘recidivist’ (berulang melakukan jenayah) ODP adalah di bawah 0.51 peratus,” katanya selepas menjadi tetamu Program Ekspresi Khas Bernama Radio di Wisma Bernama di sini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

Zulkifli berkata dalam tempoh sistem parol itu, banduan akan dipantau Pegawai Parol di setiap daerah dan ODP diwajibkan mematuhi 41 syarat Lembaga Parol. –Bernama