15,000 pelajar sertai Jalan Ria 1Murid 1Sukan

15,000 pelajar sertai Jalan Ria 1Murid 1Sukan

PRESINT 3 – Seramai 15,000 pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi memeriahkan majlis Jalan Ria 1Murid 1Sukan sempena Program Kecergasan Kementerian Pendidikan, di Dataran Putra, semalam.

Aktiviti kecergasan itu dimulakan dengan program Jalan Ria 1Murid 1Sukan dengan semua pelajar berjalan sejauh lima kilometer sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Program itu dirasmi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tahun ini adalah tahun ketujuh Kementerian Pendidikan menganjurkan program kecergasan peringkat kebangsaan dan negeri.

Selain aktiviti berjalan, tiga kategori sukan juga dipertandingkan iaitu pertandingan senamrobik, futsal danbBola jarring.

Sementara itu, sebanyak 19 sekolah menyertai acara berkenaan, termasuk Sekolah Kebangsaan Putrajaya (SKP) Presint 14 (1), SKP Putrajaya 9 (2), Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya (SMKP) Presint 5 (1),  dan Sekolah Menengah Agama Putrajaya.

SMKP Putrajaya Presint 11 (1) mucul sebagai johan bagi kategori bola jarring, SMKP Presint 9 (2) (futsal), dan SKP Presint 9 (1) (senamrobik).

Johan semua pertandingan mendapat piala, pingat dan hamper manakala tempat kedua hingga keempat mendapat hadiah hamper dan pingat.

Guru pengiring SKP Putrajaya 9 (2), Suhaila Mat Zin, berkata walaupun hanya tiga hari membuat persediaan, ia bukan menjadi penghalang untuk sekolah merangkul kejuaraan kategori senamrobik.

“Saya berasa bangga dengan pencapaian pelajar kami, walaupun hanya berlatih selama tiga hari, mereka berjaya menguasai pergerakan yang diajar.

“Sehubungan itu, kami akan membuat persediaan awal tahun depan untuk mengekalkan kejuaraan pada tahun ini,” katanya kepada MyPutrajayaNews.